TFC masih mengekalkan Mamut bagi menghadapi baki saingan musim ini. FOTO GHAZALI KORI
TFC masih mengekalkan Mamut bagi menghadapi baki saingan musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun penyerang import Terengganu FC (TFC) kerap menjadi sasaran kemarahan peminat berikutan prestasi tidak konsisten, kelab itu memutuskan untuk mengekalkan pemain import sedia ada.

Ini bermakna skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu tidak menukar pemain import lain walaupun jendela kedua perpindahan pemain masih dibuka sehingga 1 Ogos ini.

Menurut sumber Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, pintu perpindahan pemain import buat skuad itu sudah ditutup selepas hanya seorang pemain iaitu Domagoj Pusic dari Croatia ditamatkan kontrak dan digantikan dengan 'arkitek' kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.

"Ya kami kekal dengan pemain import sedia ada, ini bermakna tiga penyerang sedia ada iaitu (Ivan Mamut, Adisak Kraisorn, Jordan Mintah) kekal membarisi skuad TFC sehingga berakhir kontrak mereka bersama pasukan.

"Sebelum ini kami hanya membuat keputusan untuk menamatkan kontrak pemain tengah, Pusic sahaja dan digantikan dengan pemain Uzbekistan itu (Tukhtasinov).

"Walaupun hanya seorang, kami berharap pasukan mampu bangkit untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga selain saingan Piala Malaysia dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pada bulan depan," kata sumber itu ketika dihubungi.

Terdahulu peminat setia TFC menuntut pihak pengurusan menamatkan kontrak Mamut, Mintah dan Adisak yang disifatkan hanya pelengkap pasukan selepas mereka gagal beraksi dengan baik.

Selepas 17 perlawanan Liga Super, Mamut dan Mintah masing-masing baharu meledak lima gol manakala Adisak dengan tiga jaringan, sekali gus menyaksikan mereka gagal mencapai prestasi diharapkan peminat setia.

Malah, skuad Penyu hanya mengumpul 24 jaringan dengan 21 bolos dan kini menghuni di tangga keenam liga dengan mengutip 25 mata selepas 17 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 6:08 PM