SHETEMBI sah milik Terengganu FC musim ini. FOTO Malik Muhamad
SHETEMBI sah milik Terengganu FC musim ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten skuad kebangsaan Namibia, Petrus Shetembi menjadi pemain import terakhir 'dirantai' Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Musim lalu, pemain yang digelar 'The Dancing Shoes' itu tidak sempat beraksi dalam saingan Liga M kerana mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika awal musim sekali gus menyaksikan dia diketepikan dalam senarai pemain import Terengganu FC (TFC).

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menjelaskan bekas pemain Sabah berusia 30 tahun itu sudah didaftarkan beraksi bersama pasukan Terengganu FC II (TFC II) musim ini.

"Shetembi yang sudah membuat 60 penampilan bersama skuad kebangsaan negaranya sah kembali ke Terengganu selepas didaftarkan pada hari terakhir jendela perpindahan pertama pemain Liga M pada 22 Februari lalu.

"Pemain import kesembilan TFC Sdn Bhd itu menandatangani kontrak selama semusim sehingga berakhir saingan Liga M musim ini dan didaftarkan bersama pasukan Terengganu FC II (TFC II).

"Kehadiran pemain itu bakal memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan TFC dan TFC II dalam menghadapi saingan Liga M yang kian mencabar," katanya ketika ditemui di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Sebelum ini kelab dari Pantai Timur itu sudah mengikat lapan tonggak import iaitu Habib Haroon (Bahrain), Jordan Mintah, (Ghana) Argzim Redzovic (Montenegro), Kpah Sherman (Liberia), Kipre Tchetche (Ivory Coast), Pape Diakite (Senegal), serta dua pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott dan Luke Woodland.

Ketika ditanya status naturalisasi Redzovic, beliau menjelaskan pemain itu belum lagi didaftarkan kerana masih belum cukup syarat lima tahun beraksi dalam Liga M sebagaimana syarat yang ditetapkan.

"Pemain itu belum lagi didaftarkan sebagai pemain naturalisasi kerana masih tidak cukup syarat, mungkin selepas ini kita akan berusaha ke arah itu," katanya yang memaklumkan pihaknya masih belum dapat mengumumkan Pengarah Teknikal TFC musim ini kerana beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 5:28 PM