KHIDMAT Mamut masih diperlukan TFC musim depan. FOTO GHAZALI KORI
KHIDMAT Mamut masih diperlukan TFC musim depan. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) membayangkan akan hanya mengekalkan dua daripada sembilan pemain importnya musim ini dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, setakat ini dua pemain import yang berada dalam senarai pasukannya iaitu pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov dan penyerang, Ivan Mamut.

Katanya, 'arkitek' terbaik skuad kebangsaan Uzbekistan itu masih berbaki kontrak sehingga akhir tahun depan manakala penyerang kelahiran Croatia itu akan disambung kontrak.

Jelasnya, tambahan pemain import lain akan dibincangkan bersama ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang sudah disambung kontrak minggu lalu.

"Setakat ini kita bercadang untuk mengekalkan hanya dua daripada sembilan pemain import musim ini bagi mengharungi saingan Liga M pada musim depan.

"Selain Tukhtasinov yang masih berbaki lagi kontrak selepas diikat selama 18 bulan bermula Julai lalu, kita juga sudah berbincang dengan Mamut untuk menyambung kontraknya pada musim depan," kata Mohd Sabri yang akui cabaran pada musim depan lebih berliku.

Terdahulu Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim membayangkan hanya lima pemain import yang bakal diikat skuad TFC sebagai langkah penjimatan berbanding sembilan pemain import pada musim ini.

Semalam portal akhbar ini melaporkan pemain tengah, Habib Haroon mengesahkan dia bakal meninggalkan TFC bagi mencari pengalaman baharu bersama pasukan lain pada musim depan.

Selain Tukhtasinov, Mamut dan Habib, musim ini TFC mengikat penyerang Ghana, Jordan Mintah, Omid Nazari (Filipina), Sony Norde (Haiti), Sardor Kulmatov (Uzbekistan) dan Adisak Kraisorn manakala pertahanan import kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic dalam proses naturalisasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 12:13 PM