FAIZ (kanan) meraikan jaringan TFC. FOTO Ghazali Kori
FAIZ (kanan) meraikan jaringan TFC. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) berjaya 'gigit' skuad Kuching City FC (KCFC) 4-1 untuk melangkah ke peringkat separuh akhir saingan Piala FA menentang Selangor FC pada awal Ogos depan.

Berbekalkan sokonga 20,500 peminat setia, skuad kendalian Nafuzi Zain memulakan asakan awal menerusi percubaan leret penyerang kebangsaan Liberia, Kpah Sherman pada minit ke-14, namun mudah dibaca penjaga gol, Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Skuad Penyu yang mendominasi bermula awal permainan lagi mendapat gol pendahuluan menerusi jaringan pemain sayap lincah, Mohd Faiz Nasir pada minit ke-20.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran silang pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad di sebelah kiri pintu gol The Cats sebelum pemain paling rendah dalam padang itu melompat untuk menanduk masuk bola yang gagal diselamatkan penjaga gol berpengalaman itu.

Tersentak jaringan itu, skuad pelawat kendalian bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim menggandakan asakan untuk memburu jaringan penyamaan menerusi gerakan penyerang kebangsaan Liberia, Abu Kamara.

Hasilnya pada minit ke-43, berpunca salah faham pertahanan tuan rumah, Argzim Redzovic dengan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim yang membiarkan bola tandukan Wan Mohamad Faiz Wan Sulaiman ke dalam kotak penalti dihukum pelawat apabila pemain gantian, Amir Amri Salleh mudah menyepak masuk bola untuk mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat babak pertama.

Sedar Sherman yang dilantik sebagai kapten kurang berkesan di depan gawang, Nafuzi mengeluarkan pemain itu pada minit ke-60 dan menggantikan dengan penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche serta pemain tengah, Zuasyraf Zulkiefle dan memasukkan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Strategi itu menjadi apabila Tchetche hampir meledak gol menerusi larian solo pada minit ke-68, namun rembatan leretnya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan sekali gus terselamat pintu gol pelawat.

Berselang empat minit, penyerang berusia 35 tahun berketinggian 1.72 meter itu berjaya menggamatkan ribuan penonton yang hadir apabila meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-72 menerusi tandukan hasil hantaran Petrus Shetembi.

Tchetche yang digelar 'Drogba Ganu' menambah derita pasukan pelawat apabila berjaya menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga pasukannya pada minit ke-79 untuk mengukuhkan kedudukan 3-1.

Ketika perlawanan sebenar berbaki tiga minit sebelum ditamatkan, pemain sayap lincah, Mohd Faisal Halim menamatkan saki baki perjuangan KCFC apabila berjaya meledak gol keempat pasukannya menerusi tendangan leret untuk keputusan muktamad 4-1 memihak kepada TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 11:11 PM