Carlo Ancelotti (kiri) yang pernah membimbing Bayern Munich bersalaman dengan pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane ketika aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Carlo Ancelotti (kiri) yang pernah membimbing Bayern Munich bersalaman dengan pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane ketika aksi Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Madrid: Carlo Ancelotti kembali menyertai Real Madrid sebagai pengendali untuk tiga musim, umum kelab Sepanyol itu.

"Hello Madrid!" kata pengendali berusia 61 tahun dari Itali itu di Twitter. Beliau akan menggantikan Zinedine Zidane.

Ancelotti, yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Real Madrid ketika kali pertama membimbing kelab itu dari tahun 2013 hingga 2015, akan menandatangani kontraknya hari ini, menurut kenyataan kelab itu.

Real Madrid tidak menunggu lama untuk mencari pengganti Zidane, yang menamatkan era keduanya sebagai pengendali Khamis lalu.

Ancelotti akan kembali bergabung dengan presiden kelab Florentino Perez yang menyingkirkannya pada tahun 2015, hanya setahun selepas dia menghadiahkan gelaran Liga Juara-Juara ke-10 untuk mereka.

Ancelotti mempunyai kontrak sehingga tahun 2024 bersama Everton, tetapi pengendali dari Itali itu, yang isterinya berasal dari Sepanyol, berkata dia menikmati kehidupan di kota Madrid.

Real terlepas daripada kejuaraan liga Sepanyol musim lalu dengan perbezaan dua mata dan mara dalam kelompok empat terakhir Liga Juara-Juara, tetapi gagal menangi sebarang trofi.

Ancelotti menyertai Everton pada Disember 2019, berterima kasih kepada kelab Inggeris itu dan peminat mereka kerana memberikan sokongan yang cukup baik kepadanya.

Everton dijangka memulakan proses melantik pengendali baharu secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 9:26 AM