PENYERANG Manchester United, Cristiano Ronaldo merembat bola ketika dikejar pemain Brentford, Pontus Jansson. FOTO REUTERS
PENYERANG Manchester United, Cristiano Ronaldo merembat bola ketika dikejar pemain Brentford, Pontus Jansson. FOTO REUTERS
Agensi

Manchester: Ralf Rangnick menggesa Manchester United menandatangani dua penyerang pada musim panas ini dan pada masa sama menasihatkan pengurus baharu, Erik ten Hag supaya mengekalkan Cristiano Ronaldo.

Ronaldo menghasilkan aksi pemain terbaik perlawanan dan menjaringkan gol ke-24 musim ini ketika United menang 3-0 ke atas Brentford, malam tadi.

Ketika membuat satu pusingan untuk memberi penghormatan pada perlawanan terakhir United di tempat sendiri, musim ini, dia menyatakan: "Saya belum selesai," kepada penyokong sebelum melambai tangan apabila memasuki terowong.

Rangnick percaya, United perlu mempertajamkan jentera serangan apabila Ten Hag tiba dari Ajax pada musim panas ini, tetapi menyatakan Ronaldo, 37, sepatutnya menggunakan tahun kedua dalam kontraknya.

"Cara dia bermain malam ini, bukan hanya menjaringkan gol, mendapatkan penalti dan membantu pertahanan, jadi kenapa dia tidak boleh berada bersama dan membantu pasukan?" kata Rangnick.

"Tetapi, soalan ini anda patut tanya kepada Erik dan Cristiano.

"Cristiano bukan penyerang tengah. Dia tidak mahu bermain di posisi itu, tetapi jika anda lihat kepada bola sepak antarabangsa, tidak banyak pasukan bermain dengan dua penyerang.

"Bagi saya, ia adalah persoalan mengenai pemain mana yang dimiliki Manchester United pada masa depan. Sudah tentu, United memerlukan dua penyerang berkualiti.

"Penyerang moden tidak semestinya menjadi penyerang. Liverpool atau Manchester City memiliki lima atau enam penyerang bertaraf dunia. Jika anda tanya saya jika Gabriel Jesus atau Jack Grealish adalah pemain sayap atau penyerang, mereka boleh bermain kedua-duanya.

"Mason Greenwood sepatutnya seorang daripada mereka, tetapi selepas perlawanan dengan West Ham, dia tidak lagi menjadi anggota pasukan. Anthony Martial dipinjamkan manakala Edinson Cavani pula cedera.'

Rangnick mengemudi perlawanan terakhir di tempat sendiri sebelum menyerahkan tugas kepada Ten Hag.

Dia akan menjadi perunding di Old Trafford dan pada masa sama, bertugas sebagai jurulatih skuad kebangsaan Austria.

Pengendali dari Jerman itu mengakui dia tidak puas hati dengan sumbangannya sebagai jurulatih sementara dan menyatakan: "Saya tidak gembira dengan tempoh enam bulan ini, terutama dalam empat atau lima minggu terakhir.

"Saya menjangka akan layak ke Liga Juara-Juara Eropah, itulah matlamat utama."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 7:36 PM