RALF Rangnick. -FOTO Agensi
RALF Rangnick. -FOTO Agensi
AFP

Manchester: Ralf Rangnick akan bertemu pengurus Manchester United yang baru Erik ten Hag minggu ini ketika pengendali Jerman itu berhasrat menamatkan khidmatnya dengan memastikan kelayakan Liga Europa.

Ten Hag dijangka akan menghadiri perlawanan terakhir United pada musim yang mengecewakan di Crystal Palace ketika dia bersiap untuk membentuk semula pasukan ini.

Red Devils kini berkedudukan tempat keenam Liga Perdana, dua mata mengatasi West Ham dan perlu menang di Selhurst Park bagi memastikan tempat dalam saingan Liga Europa.

Apa saja selain kemenangan, United boleh diturunkan ke peringkat ketiga persaingan Eropah iaitu beraksi di Liga Konferensi Europa.

Rangnick gagal memberi inspirasi untuk United mendapatkan semula sentuhan juara sejak pemecatan Ole Gunnar Solskjaer pada November.

Malah di bawah kendaliannya, United mencapai tahap terendah apabila dibelasah Brighton 0-4 pada perlawanan terakhir mereka dua minggu lalu.

"Saya yakin pemain mahu memperbaiki keadaan dan menunjukkan serta membuktikan kepada semua orang bahawa mereka mampu bermain lebih baik daripada apa yang kami lakukan ketika di Brighton," kata Rangnick.

"Saya juga positif mereka lebih suka bermain di Liga Europa berbanding Liga Konferensi.

"Pastinya mereka perlu bermain pada Khamis berbanding Selasa atau Rabu tetapi saya fikir ia masih menjadi satu perbezaan yang besar jika kelab seperti Liga Europa berbanding Liga Konferensi."

Ten Hag memendekkan kontraknya dengan Ajax untuk memulakan tugas secara rasmi sebagai pengurus di Old Trafford mulai Monday lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 10:26 AM