PENGENDALI sementara Man Utd, Ralf Rangnick. FOTO Fail REUTERS
PENGENDALI sementara Man Utd, Ralf Rangnick. FOTO Fail REUTERS
AFP

London: Ralf Rangnick menegaskan dia akan membantu Erik ten Hag 'mengubah semuanya untuk kebaikan' apabila memikul peranan sebagai perunding di Manchester United.

Rangnick kini pada minggu terakhir sebagai pengendali sementara United sebelum menyerahkan tugas itu kepada Ten Hag, musim depan.

Pengendali dari Jerman itu mengakui peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan selaku empat pasukan terbaik sudah tertutup, apabila United kini hanya menduduki tempat keenam Liga Perdana Inggeris.

United akan menentang Chelsea, awal pagi esok dengan harapan memburu tempat ke Liga Europa atau Konfederasi Europa dan Rangnick bimbang kejohanan itu akan menghalang tugasan Ten Hag pada musim pertamanya.

"Ada baiknya terlepas bola sepak Eropah, tetapi ini tidak bermakna kami akan memandang mudah baki empat perlawanan liga," kata Rangnick kepada media, hari ini.

"Bagi kami, ia jelas dan impian kami, tugas saya, pemain untuk memperoleh keputusan terbaik dan kemudian melihat posisi kami pada hujung musim.

"Tetapi, kini untuk menyatakan sama ada ada kelebihan atau tidak memang tidak sesuai."

Rangnick akan memulakan tugas perunding selama dua tahun di United pada hujung musim ini, tetapi mengakui posisinya kekal tidak jelas.

Pengendali Jerman berusia 63 tahun itu dijangka mendapat gambaran lebih jelas pada minggu depan dan dia akan membantu Ten Hag sebaik mungkin.

"Ya, saya akan berada di sini musim depan," katanya. "Saya menunggu untuk bekerja sebagai penasihat dan sudah tentu akan membantu Erik sebaik mungkin.

"Setakat ini, kami belum bercakap dan berhubung kerana dia masih fokus kepada Ajax dan saya pula fokus kepada Manchester United."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 8:55 AM