SENTUHAN jurulatih dari Belanda, Erik ten Hag diharap dapat mengubah nasib Man United, musim depan. FOTO AFP.
SENTUHAN jurulatih dari Belanda, Erik ten Hag diharap dapat mengubah nasib Man United, musim depan. FOTO AFP.
Reuters

London: Pemain Manchester United tidak sabar untuk bekerja dengan Erik ten Hag dan pelantikan pengurus dari Belanda itu memudahkan persiapan untuk musim depan, kata pemain pertahanan, Diogo Dalot.

Ten Hag yang sebelum ini mengemudi Ajax Amsterdam menandatangani kontrak tiga tahun dengan pilihan sambungan setahun lagi bagi menggantikan pengendali sementara, Ralf Rangnick pada hujung musim ini.

"Saya tidak fikir anda perlu melihat banyak perkara untuk mengesahkannya sebagai pengurus hebat," kata Dalot kepada Sky Sports.

"Apa yang dilakukannya bersama Ajax adalah sesuatu yang luar biasa.

"Dia mempamerkan bola sepak menarik dan saya fikir penyokong United teruja memiliki pengurus sepertinya dan begitu juga kami sebagai pemain.

"Dalam fikiran kami, sudah jelas siapa pengurus pada musim depan dan itu bagus kerana selepas bercuti nanti, kami tahu apa yang dijangkakan.

"Kemudian kami akan melalui latihan pra musim bersama-sama, mendapatkan idea yang betul sebelum memulakan musim baharu."

Rangnick yang akan kekal sebagai perunding kepada United walaupun dilantik sebagai pengurus Austria, dijangka membincangkan masa depan Cristiano Ronaldo dengan Ten Hag dan Dalot berkata, pasukan itu gembira memiliki penyerang legenda itu.

"Tiada bentuk pujian yang dapat membayangkan cara dia bekerja, dia adalah manusia yang menakjubkan," kata Dalot.

"Angka membuktikan kehebatannya, begitu juga statistik, jadi kami gembira memiliki pemain seperti Cristiano."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 5:19 PM