PEMAIN tengah Brentford, Christian Eriksen dikejar pemain Manchester United, Nemanja Matic pada perlawanan malam tadi. FOTO REUTERS
PEMAIN tengah Brentford, Christian Eriksen dikejar pemain Manchester United, Nemanja Matic pada perlawanan malam tadi. FOTO REUTERS
Reuters

London: Pengurus Brentford, Thomas Frank berkata, mereka memiliki peluang terbaik dan akan melakukan apa saja bagi mengekalkan perancang, Christian Eriksen di kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Eriksen, pemain antarabangsa Denmark yang rebah di tepi padang akibat serangan jantung ketika Kejohanan Eropah (Euro 2020) menentang Finland, Jun lalu, kembali beraksi selepas Brentford menandatanganinya secara kontrak jangka pendek pada Januari lalu.

Kontak bekas pemain Inter Milan berusia 30 tahun itu akan tamat kontrak pada Disember ini dan dia tidak dibenarkan bermain di Serie A kerana menggunakan alat pada jantung.

Media Britain mengaitkannya dengan kepulangan semula ke bekas kelab, Tottenham Hotspur, selain Newcastle United dan Manchester United dilaporkan turun berminat, namun Frank berkata, Brentford tidak akan diketepikan.

"Saya sentiasa berfikiran positif," katanya kepada BBC ketika ditanya kemungkinan mengekalkan Eriksen, yang menjaringkan satu gol dan melakukan dua umpanan jaringan sejak kembali beraksi.

"Saya sentiasa percaya kami memiliki peluang sangat baik. Saya tahu dia gembira di sini, menikmati permainan bola sepaknya. Ia keputusan yang perlu dibuat pada hujung musim ini."

Frank memuji penyokong Manchester United yang berdiri memberi penghormatan kepada Eriksen ketika pemain itu dua kali mengambil sepakan sudut di Old Trafford ketika perlawanan dimenangi United, 3-0, malam tadi.

"Ia adalah sesuatu yang menarik dan menunjukkan apa bola sepak boleh lakukan apabila kita berfikir mengenai perkara lebih baik," kata Frank kepada Sky Sports.

"Kuncinya, dia bermain dengan baik secara konsisten di peringkat tertinggi. Bukan lagi rahsia kami akan melakukan apa saja untuk memastikan dia kekal."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 4:59 PM