Eriksen bakal mengemudi jentera tengah Denmark. FOTO EPA
Eriksen bakal mengemudi jentera tengah Denmark. FOTO EPA
AFP

Copenhagen: Pemain tengah Manchester United, Christian Eriksen, yang mengalami serangan jantung ketika Euro 2020, dinamakan dalam 21 pemain pilihan jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand untuk ke Piala Dunia, manakala lima lagi pemain akan diumumkan dalam masa terdekat.

Senarai penuh skuad perlu diumumkan selewat-lewatnya Isnin depan iaitu sehari sebelum pasukan berlepas ke Qatar.

"Ada 10 hingga 12 pemain bersaing untuk memburu lima slot itu," kata Hjulmand.

"Banyak perkara boleh berlaku. Ia belum dipastikan, tapi berada pada landasan tepat. Ada dua lagi perlawanan dan perkara mungkin berubah."

Eriksen tersisih selama lapan bulan selepas rebah pada perlawanan pembukaan Kejohanan Eropah apabila Denmark menentang Finland di Copenhagen pada 12 Jun tahun lalu dan jantungnya berhenti berdenyut selamat beberapa minit.

Dia diberikan rawatan segera di tepi padang dan terbaring tidak sedarkan diri sehingga membuatkan penonton termasuk yang menyaksikan perlawanan menerusi televisyen di seluruh dunia terkejut.

Eriksen menghabiskan beberapa hari di hospital dan dipasang alat khas pada jantung sebelum meninggalkan Inter Milan dan menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brentford dan kemudian Manchester United.

Dia menjaringkan gol pada penampilan semula pertama bersama skuad kebangsaan menentang Belanda pada Mac lalu.

Kapten, Simon Kjaer turut berada dalam senarai, tetapi belum ada tempat setakat ini buat pemain pertahanan Leicester, Jannik Vestergaard dan penyerang Leipzig, Yussuf Poulsen.

Diundi dalam Kumpulan D, Denmark akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Tunisia pada 22 November diikuti juara bertahan, Perancis dan Australia.

SENARAI PEMAIN DENMARK

Penjaga gol: Kasper Schmeichel (Nice/PER), Oliver Christensen (Hertha Berlin/JER)

Pemain pertahanan: Daniel Wass (Brondby), Rasmus Nissen Kristensen (Leeds United/ENG), Jens Stryger Larsen (Trabzonspor/TUR), Joakim Maehle (Atalanta/ITA), Andreas Christensen (Barcelone/SEP), Simon Kjaer (AC Milan/ITA), Joachim Andersen (Crystal Palace/ENG), Victor Nelsson (Galatasaray/TUR)

Pemain tengah: Pierre-Emile Hojbjerg (Tottenham/ENG), Thomas Delaney (Seville/SEP), Christian Eriksen (Manchester United/ENG), Mathias Jensen (Brentford/ENG)

PENYERANG: Mikkel Damsgaard (Brentford/ENG), Andreas Skov Olsen (Club Brugge/BEL), Jesper Lindstrom (Eintracht Frankfurt/JER), Martin Braithwaite (Silkeborg), Kasper Dolberg (Seville/SEP), Jonas Wind (Wolfsburg/JER), Andreas Cornelius (FC Copenhagen)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 8:57 AM