PEMAIN KDA FC memperagakan jersi ketiga. FOTO Izzali Ismail
PEMAIN KDA FC memperagakan jersi ketiga. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memperkenalkan jersi ketiga skuad Sang Kenari dan akan digunakan pada kejohanan Piala AFC yang akan berlangsung di Denpasar, Bali, Jun depan.

Pelancaran jersi berwarna hitam dengan lilitan warna hijau di leher dan merah di lengan itu dipadankan dengan seluar dan sarung kaki yang juga berwarna hitam.

Ia melengkapkan koleksi jersi pertama berwarna kuning dan kedua berwarna merah yang dilancarkan secara maya pada 28 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali berkata, pelancaran jersi ketiga oleh KDA FC dan Prestige Sports Sdn Bhd itu adalah bagi menghargai semua pihak terutamanya peminat pasukan Kedah yang memang menantikan kemunculan jersi skuad kesayangan mereka sejak awal musim.

"Kehadiran jersi ketiga ini akan melengkapkan jersi pasukan Sang Kenari dan jersi ketiga ini akan turut digunakan dalam kejohanan Piala AFC yang akan berlangsung di Denpasar, Bali pada Jun ini.

"Kerjasama dengan penaja seperti Lotto adalah satu usaha penjenamaan dan penghasilan jersi pasukan Sang Kenari ini adalah produk utama untuk kelab," katanya.

Khamal juga berkata KDA FC menyarankan agar peminat menyokong usaha KDA FC itu bagi meningkatkan punca pendapatan kelab termasuk melalui semua penjualan barangan rasmi pasukan Sang Kenari.

"Bermula musim ini juga KDA FC giat menjalankan usaha penjenamaan kelab melalui penjualan cenderahati dan KDA FC sendiri mengeluarkan produk cenderahati untuk koleksi peminat Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 7:47 PM