PEMAIN Kedah gigih berlatih menjelang perlawanan separuh akhir Piala AFC, malam esok. FOTO FB KDA FC
PEMAIN Kedah gigih berlatih menjelang perlawanan separuh akhir Piala AFC, malam esok. FOTO FB KDA FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman (KDA) FC mahu menjadikan pentas separuh akhir Zon Asean Piala AFC sebagai penawar duka selepas agak hambar dalam saingan Liga Super.

Kedah yang dijadual menentang PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia, malam esok harus mencatat keputusan positif bagi menebus kehampaan itu di liga tempatan.

Malah, prestasi terbaik perlu diperagakan bagi menambat semula hati peminat skuad Hijau Kuning yang mahu perubahan dilakukan dalam pasukan itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kedah, Khamal Idris Ali, pihaknya akan memantau setiap perlawanan dan titik tolak tindakan seterusnya adalah melalui penilaian prestasi perlawanan separuh akhir itu.

"Doakan Sang Kenari dapat mengubati kekecewaan aksi liga dengan menghadiahkan pentas akhir Zon Asean Piala AFC 9 Ogos ini.

"Teruskan sokongan anda dengan kata-kata semangat bagi meniup aura juang sejiwa murni," jelas Khamal menerusi kenyataan dikeluarkan, kelmarin.

Sebelum ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mara ke peringkat empat terbaik selepas menjuarai Kumpulan G Zon Asean Piala AFF pada Jun lalu.

Namun rentak itu tidak dapat diteruskan dalam saingan Liga Super apabila tewas dalam tiga aksi daripada empat perlawanan liga yang dilalui.

Malah, penyingkiran Kedah daripada saingan Piala FA di pusingan kedua turut menambah luka penyokong yang mahu rombakan dilakukan ke atas pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 5:35 PM