REKAAN jersi ‘home’ KDA FC musim ini. FOTO KDA FC
REKAAN jersi ‘home’ KDA FC musim ini. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tampil memperkenalkan jersi baharu pasukan secara rasmi untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirainya 4 Mac ini.

Pelancaran jersi baharu itu menerusi siaran langsung di media sosial rasmi pasukan itu menyaksikan penampilan beberapa pemain KDA FC seperti Marc Vales, Rodney Celvin dan Dechi Marcel yang memperagakan jersi tuan rumah (home).

Sejak dikenali semula dengan gelaran baharu iaitu Sang Kenari, skuad KDA FC kini memilih warna kuning untuk jersi di halaman sendiri dengan jaluran hijau dan merah di bahu serta lilitan warna hijau di hujung lengan. Ia juga dilengkapi dengan seluar berwarna kuning.

Bagi jersi di tempat lawan (away) pula, skuad Sang Kenari menampilkan warna merah dengan lilitan hijau di leher dan lengan bersama seluar hijau sepertimana warna kombinasi yang dipakai sejak beberapa musim lalu.

Berbeza dengan musim terdahulu, logo pasukan pada musim ini diletakkan pada bahagian tengah diikuti dengan nama penaja DXN selaku penaja utama musim ini.

Selain itu tiga corak jersi berwarna oren, kelabu dan biru menjadi pilihan KDA FC bagi jersi penjaga gol.

Menurut kenyataan oleh KDA FC, jersi baharu musim ini kini dibuka untuk tempahan dengan harga pasaran RM139 sehelai untuk jenis Authentic dan RM99 untuk Replica dan boleh di tempah secara dalam talian.

"Kebangkitan Sang Kenari dengan mengembalikan warna serba kuning bagi jersi 'home' dengan rekaan mural padi disemat erat di dada jersi pemain melalui kesan kain timbul 3D.

"Manakala rekabentuk bagi jersi 'away' pula berkualiti yang sama iaitu berwarna merah dengan rekaan berulang V melalui geometrik 'V' di bahagian dada.

"Kain jersi home dan away ini lebih eksklusif, ringan dengan hanya seberat 135 gsm dan dilengkapi dengan logo silikon berwarna penuh dengan teknologi DEEP DRY Lotto," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 6:17 PM