REAKSI Benzema selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
REAKSI Benzema selepas menjaringkan gol. FOTO AFP
AFP

Pamplona: Real Madrid melupakan kekalahan kepada Paris Saint-Germain (PSG) dengan menewaskan Alaves 3-0 pada saingan La Liga hari ini.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Carlo Ancelotti selesa dengan kelebihan tujuh mata di tangga teratas liga dengan Marco Asensio memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol pertama minit ke-63.

Sebelum itu Real dilihat bergelut untuk menembusi benteng Alaves sehinggalah Asensio menjaringkan gol menarik di Santiago Bernabeu yang menyaksikan penyokong meluahkan rasa kecewa selepas gagal meledak gol pada babak pertama.

"Kami bersetuju dengan penyokong. Tiada sesiapa di bilik persalinan berpuas hati dengan cara kami bermain di separuh masa pertama," kata Carlo Ancelotti.

Gol Asensio kemudian diikuti dengan jaringan Vinicius Junior minit ke-80 dan Karim Benzema melengkapkan kemenangan Real apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Real masih kekal pilihan utama untuk memenangi kejuaraan liga di sebalik prestasi tidak menentu ketika ini.

Real hanya dapat menjaringkan satu gol sepanjang empat perlawanan sebelum ini dan mereka terus menerima kecaman selepas tewas 0-1 kepada PSG minggu lalu di Paris.

Ancelotti berharap gol pertama Vincius selepas tujuh perlawanan dan gol pertama Benzema sejak pulih daripada kecederaan dapat melonjakkan prestasi Real semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 9:28 AM