BENZEMA meledak hatrik untuk membantu Real mara ke suku akhir Liga Juara-Juara. FOTO AFP
BENZEMA meledak hatrik untuk membantu Real mara ke suku akhir Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Madrid: Karim Benzema berkata, Real Madrid membuktikan bahawa mereka masih lagi 'bernyawa' selepas melakukan kebangkitan luar biasa untuk menumpaskan Paris Saint Germain (PSG) dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Real ketinggalan dengan agregat 0-2 selepas Kylian Mbappe meletakkan PSG di depan di Santiago Bernabeu namun Benzema berjaya melengkapkan hatrik luar biasa, termasuk dua jaringan dalam tempoh dua minit.

"Setiap perlawanan ibarat perlawanan akhir buat kami sekarang dalam Liga Juara-Juara dan La Liga namun hari ini kami menunjukkan Real Madrid masih lagi 'bernyawa'.

"Kami tahu PSG suka untuk memegang bola. Kami bermula dengan baik, kami cuba menjaringkan gol dan pada separuh masa kedua kami memenangi perlawanan dibantu dengan kekuatan mental," kata Benzema.

Pada usia 34 tahun, Benzema adalah pemain paling tua meledak hatrik dalam sejarah Liga Juara-Juara.

"Kami memenangi perlawanan yang sangat sukar, di mana ia menjadi bertambah rumit selepas jaringan Mbappe.

"Kami sangat merasainya. Selepas itu kami cuba memberi tekanan di mana itu yang kami mahu lakukan.

"Kami menjaringkan gol pertama dan bermula dari situ semuanya berubah. Penyokong membantu kami dan kami mula bertambah yakin. Ia malam yang luar biasa," kata jurulatih Real, Carlo Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 9:22 AM