RONALDO buktikan dia masih berbisa. -FOTO Reuters
RONALDO buktikan dia masih berbisa. -FOTO Reuters
AFP

Manchester: Cristiano Ronaldo menamatkan kemarau gol selepas enam perlawanan apabila membantu Manchester United bangkit daripada persembahan hambar pada separuh masa pertama untuk menewaskan Brighton yang beraksi 10 pemain dengan kemenangan 2-0 dan kembali ke kedudukan empat tempat teratas Liga Perdana.

Perlawanan hambar itu berubah pada babak kedua apabila Ronaldo menjaringkan gol pertama untuk tahun ini sebelum Lewis Dunk dibuang padang tiga minit kemudian.

Namun tuan rumah masih gagal memanfaatkan peluang kelebihan itu untuk menambah jaringan sehinggalah Bruno Fernandes menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan.

Skuad bimbingan Ralf Rangnick itu sebelum ini sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dalam tiga perlawanan terdahulu dalam semua pertandingan, kehilangan mata penting dalam liga dan tersingkir daripada Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti.

Ditemui selepas perlawanan pengurus sementara United itu mahu pasukannya menjadi lebih seperti Dr Jekyll dan kurang ego jahat seperti Mr Hyde.

"Babak pertama adalah Mr Hyde, babak kedua Dr Jekyll dan keputusan kali ini berbeza. Apa yang penting ialah mengutip tiga mata menentang pasukan yang pada prestasi terbaik.

"Penting apabila dia (Ronaldo) bukan saja menjaringkan gol tetapi ia adalah gol yang hebat. Ia penting buat kami semua, tetapi persembahannya secara keseluruhan adalah yang terbaik sejak saya tiba di sini," kata Rangnick.

United mendahului permainan di Old Trafford pada minit ke-51 apabila Scott McTominay membuat umpanan kepada Ronaldo. Ia adalah gol ke-15 penyerang Portugal itu sejak kembali ke United dari Juventus pada Ogos.

Tiga minit kemudian, Dunk diarahkan keluar padang oleh pengadil Peter Bankes selepas kapten Brighton itu menjatuhkan pemain remaja United, Anthony Elanga.

United mengesahkan kemenangan pada minit ke-97 apabila pemain gantian Paul Pogba mengambil sepakan percuma pantas dan Fernandes membawa bola dari kawasan sendiri sebelum menjaringkan gol.

Tiga mata dikutip itu melonjak United ke tangga keempat liga, dua mata di depan West Ham dan empat di belakang penghuni tangga ketiga, Chelsea yang bermain kurang satu perlawanan.

Arsenal, Wolves dan Tottenham juga masih berpeluang merebut tiket ke Liga Juara-Juara dan masing-masing juga mempunyai perlawanan di tangan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 8:53 AM