REAKSI barisan pemain Man United selepas tamat perlawanan. FOTO Reuters
REAKSI barisan pemain Man United selepas tamat perlawanan. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick kecewa kekurangan pilihan di bahagian serangan selepas seri 1-1 menentang Leicester awal pagi tadi sekali gus merosakkan harapan mereka untuk mendapat tempat beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

Kelechi Iheanacho meletakkan pelawat di hadapan pada separuh masa kedua dan walaupun Fred menyamakan kedudukan hanya tiga minit kemudian, kedua-dua pasukan buntu untuk mendapatkan gol kemenangan selepas itu.

Skuad bimbingan Rangnick kini ketinggalan tiga mata berbanding Arsenal di tempat keempat yang masih kurang dua perlawanan namun pengendali dari Jerman itu berkata mereka akan terus berjuang untuk berada di kedudukan empat teratas walaupun ia adalah tugas yang sukar.

"Pada 15 minit terakhir kami cuba menjaringkan gol tetapi dalam perlawanan ini kami gagal menjaringkan gol lewat permainan.

"Kami tidak mempunyai pemain yang menyerang malah Jesse Lingard juga sakit.

"Selagi (kedudukan empat teratas) masih boleh dikejar secara matematik, ia boleh dilakukan. Adalah tugas kami untuk menamatkan musim di kedudukan terbaik," katanya kepada Sky Sports.

United sedang mendapatkan pengurus tetap baharu dengan bos Ajax, Erik ten Hag dilihat sebagai pilihan utama dan kesukaran dihadapi pasukan itu jelas ketika berdepan pasukan kendalian Brendan Rodgers.

Pasukan tuan rumah yang kehilangan penjaring terbanyak, Cristiano Ronaldo kerana sakit, kurang sentuhan di bahagian serangan pada babak pertama selain sukar mendapat rentak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 8:48 AM