RASHFORD (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
RASHFORD (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

Manchester: Marcus Rashford menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk membolehkan Manchester United menundukkan West Ham 1-0, hari ini dengan Ralf Rangnick menyifatkannya sebagai kemenangan cukup penting.

United akhirnya memecah kebuntuan di Old Trafford pada hujung permainan selepas tiga pemain gantian iaitu Anthony Martial dan Edinson Cavani bergandingan dengan Rashford yang berjaya meledak gol.

"Suasana di bilik persalinan sangat hebat. Pemain meraikannya kerana mereka tahu betapa pentingnya kemenangan ini.

"Ini adalah antara kemenangan paling bermakna apabila lawan tidak mempunyai masa untuk bangkit semula," kata Rangnick.

Kemenangan itu menyaksikan United melondak di kedudukan keempat liga mengatasi Hammers selain mengatasi Tottenham dan Arsenal buat seketika yang akan beraksi malam ini, dalam usaha mereka untuk meraih tiket Liga Juara-Juara musim depan.

Kemenangan itu juga penting untuk Rashford yang dilihat kurang meyakinkan sejak beberapa bulan lalu.

Pemain antarabangsa England itu menjaringkan gol pertama sejak Oktober ketika melakar kemenangan 3-1 ke atas Brentford, Khamis lalu.

Rashford sekali lagi gagal membarisi kesebelasan utama pada perlawanan hari ini untuk memberi peluang kepada Anthony Elanga.

Bagaimanapun dia adalah pemain gantian pertama yang dimasukkan oleh Rangnick pada babak kedua yang kemudiannya muncul wira United apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan.

"Kami mengambil risiko pada 15 minit terakhir tetapi pada akhirnya saya mahu menunjukkan kepada pemain bahawa ia adalah semata-mata untuk memenangi perlawanan ini dan saya sangat gembira kami menjaringkan gol di hujung permainan," kata Rangnick.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 7:31 AM