Reaksi pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo selepas dikeluarkan pengendali sementara Ralf Rangnick. FOTO Reuters
Reaksi pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo selepas dikeluarkan pengendali sementara Ralf Rangnick. FOTO Reuters
AFP

London: Ralf Rangnick mempertahankan tindakan Cristiano Ronaldo selepas bintang Manchester United itu menunjukkan reaksi kecewa ketika digantikan yang membayangi kemenangan 3-1 mereka di Brentford, pagi ini.

Skuad kendalian Rangnick diselamatkan oleh aksi cemerlang dipamerkan David de Gea pada babak masa sekali gus menghalang Brentford menjaringkan gol sebelum United bangkit memastikan kemenangan di barat London.

Anthony Elanga meletakkan United di depan pada awal babak kedua permainan sebelum Mason Greenwood dan Marcus Rashford memastikan kemenangan pertama dalam tiga perlawanan Liga Perdana.

Namun reaksi kecewa Ronaldo kepada keputusan Rangnick menggantikan penyerang itu pada minit ke-71 jelas kelihatan pada perlawanan itu.

Ronaldo kelihatan menggelengkan kepala dan memperkatakan sesuatu kepada Rangnick ketika berjalan didepannya.

Tambah memburukkan keadaan Ronaldo dikatakan berang melemparkan jaketnya ke lantai sbeelum ditenangkan rakan sepasukan.

Bagaimanapun Rangnick tidak mengendahkan tindakan Ronaldo sebelum duduk bersebelahannya dan menjelaskan kepada penyerang Portugal itu apabila merehatkannya.

Reaksi kecewa pemain berusia 36 tahun itu meningkatkan lagi persoalan mengenai kemahuannya untuk menyesuaikan diri dengan sistem Rangnick selepas mempamerkan satu lagi persembahan mengecewakan.

Bagaimanapun, Rangnick enggan mengkritik mengenai kelakuan Ronaldo itu.

"Ia perkara biasa, dia adalah penyerang dan mahu menjaringkan gol. Dia kembali beraksi selepas mengalami kecederaan ringan dan pada saya adalah sangat penting untuk memastikan tumpuan bahawa kami mempunyai satu lagi perlawanan penting dalam beberapa hari," kata Rangnick.

"Kami mendahului 2-0, sama seperti di Aston Villa. Saya mengambil keputusan untuk mempertahankan kedudukan ini kali ini dan ia adalah keputusan tepat untuk mengubah tumpuan kepada barisan pertahanan."

United sekurang-kurangnya mengelak daripada mencatat satu lagi kekalahan memalukan selepas tewas di tempat sendiri kepada Wolves dan mempersia-siakan kelebihan dua gol ketika seri di Aston Villa dalam dua perlawanan terdahulu.

Wajah kecewa penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo. FOTO Reuters
Wajah kecewa penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo. FOTO Reuters

Red Devils berada di tempat ke tujuh dalam carta liga, dua mata ketinggalan daripada pasukan di kelompok empat teratas ketika mereka memburu kelayakan bagi saingan Liga Juara-Juara, musim depan.

"Saya boleh katakan peralihan yang kuat tetapi semestinya kami harus melakukan beberapa perubahan, separuh masa pertama kami tidak begitu bagus dalam semua perkara mengenai perlawanan," kata Rangnick mengenai pesanan pada waktu rehat buat pemainnya.

"Kami membiarkan lawan menguasai bola. Namun pada babak kedua kami lebih berkesan, kami melakukan serangan dan memberi tekanan kepada lawan."

Brentford hanya berjaya menembusi jaringan lima minit sebelum tamat permainan menerusi Ivan Toney.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 8:29 AM