GAYA Sterling meraikan jaringan pertama  City di  Burnley. FOTO AFP
GAYA Sterling meraikan jaringan pertama City di Burnley. FOTO AFP
AFP

London: Ferran Torres menjaringkan gol pertamanya bersama Manchester City ketika juara bertahan Piala Liga kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Burnley 3-0 manakala Manchester United turut mara ke suku akhir selepas mengatasi Brighton 3-0, awal pagi tadi.

Skuad Pep Guardiola mengalami kekalahan terbesar dalam aksi Liga Perdana di tempat sendiri apabila dimalukan Leicester 2-5, Ahad lalu.

Dua jaringan Raheem Sterling di Turf Moor memastikan kebangkitan dan penyerang Sepanyol, Torres yang dibeli daripada Valencia meledak gol ketiga.

"Adalah penting tidak melepaskan gol dan pasukan beraksi baik secara keseluruhan,'' kata Guardiola.

"Tapi kami masih jauh daripada keupayaan sebenar kerana kami tidak berlatih secukupnya. Ramai pemain tidak beraksi, enam akibat Covid dan empat cedera.''

City menjulang Piala Liga empat kali dalam lima musim terakhir dan kini berpeluang mengekalkan trofi itu.

RASHFORD  (kanan)  meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
RASHFORD (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP

Anak buah Guardiola sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar tetapi dihampakan aksi mantap penjaga gol Burnley, Bailey Peacock-Farrell.

Sterling membuka tirai jaringan 10 minit sebelum rehat menerusi rembatan kencang selepas mendapat hantaran Benjamin Mendy.

Dia menggandakan jaringan pada minit ke-49 dengan menyudahkan gerakan daripada Kevin De Bruyne dan Torres.

City melengkapkan kemenangan pada minit ke-65 apabila bola yang gagal dikawal kemas Sterling hasil hantaran Riyad Mahrez singgah di kaki Torres yang tenang menewaskan Peacock-Farrell.

Di Stadium Amex, Manchester United menambah duka Brighton empat hari selepas menewaskan mereka 3-2 dalam aksi dramatik Liga Perdana.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer memerlukan jaringan penalti Bruno Fernandes pada minit ke-100 untuk mengatasi Albion tetapi tiada drama kali ini. United melakukan 10 pertukaran dan Brighton sembilan dengan pelawat jauh lebih berbahaya.

United yang kali terakhir menang Piala Liga pada 2017 mendahului di minit ke-44 apabila Scott McTominay menanduk masuk sepakan percuma Juan Mata.

United menggandakan kelebihan pada minit ke-73 menerusi Mata selepas mendapat hantaran Donny Van De Beek untuk jaringan ke-50nya bersama kelab.

Paul Pogba yang masuk sebagai pemain gantian meledak gol ketiga hasil sepakan percuma yang terlebih dahulu terkena pemain Brighton, Joel Veltman.

Dalam perlawanan lain, Dominic Calvert-Lewin mencipta hatrik ketika Everton membelasah West Ham 4-1 tetapi kemenangan itu dibayangi kecederaan dua bintang Brazil, Richarlison dan Allan.

Calvert-Lewin meletakkan Everton di depan pada minit ke-11 di Goodison Park untuk jaringan keenamnya musim ini.

Skuad Carlo Ancelotti yang menang enam kali berturut-turut dalam semua kejohanan musim ini dikejutkan dengan gol penyamaan oleh Robert Snodgrass pada minit ke-49.

Tetapi Richarlison kembali meletakkan Everton di depan 10 minit selepas itu sebelum Calvert-Lewin meledak hatrik keduanya musim ini menerusi jaringan pada minit ke-78 dan 84.

Newcastle pula cemas sebelum mara ke peringkat lapan terakhir apabila menewaskan kelab liga empat, Newport menerusi penalti 5-4 selepas seri 1-1 dalam aksi sebenar.

Tottenham menewaskan Chelsea 5-4 juga menerusi penalti selepas seri 1-1 semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 6:54 AM