DONNY van de Beek. FOTO AFP
DONNY van de Beek. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Donny van de Beek muncul pemain pertama ditandatangani pengurus baharu Everton, Frank Lampard selepas pemain tengah itu melengkapkan perpindahan secara pinjaman dari Manchester United.

Van de Beek melalui tempoh 18 bulan yang sukar di Old Trafford sejak berhijrah dari Ajax dengan nilai perpindahan £40 juta (RM225.1 juta).

Pemain berusia 24 tahun itu bergelut untuk mendapatkan minit permainan ketika di bawah bimbingan bekas pengurus, Ole Gunnar Solskjaer dan pengendali sementara ketika ini, Ralf Rangnick.

Lampard dilantik sebagai pengurus Everton yang ketujuh dalam tempoh enam tahun semalam menerusi kontrak selama dua tahun setengah.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Chelsea itu tidak terbabit dengan bola sepak selama setahun selepas dipecat oleh kelab London itu, Januari tahun lalu.

Beliau diberi tanggungjawab untuk memastikan Toffees kekal di Liga Perdana. Kelab itu kini mempunyai kelebihan empat mata dari zon penyingkiran selepas hanya melakar satu kemenangan daripada 14 perlawanan.

"Saya melalui perbincangan yang positif dengan jurulatih baharu. Kami mempunyai pandangan yang sama mengenai bola sepak dan dia banyak mempengaruhi keputusan saya.

"Saya pernah menentangnya ketika bersama Ajax dan dia bersama Chelsea, jadi dia tahu saya sebagai seorang pemain. Dia berasakan saya mempunyai kualiti yang dapat membantu pasukan.

"Saya boleh mempelajari sesuatu daripadanya kerana posisi kami adalah sama di bahagian tengah yang mempu menjaringkan gol dengan banyak. Dia boleh membantu saya, jadi saya rasa berada di kelab yang tepat," katanya Van de Beek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 7:43 AM