TAKZIAH buat Allahyarham Fairuz Sirat. FOTO Ihsan Melaka United
TAKZIAH buat Allahyarham Fairuz Sirat. FOTO Ihsan Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pasukan Melaka United (MU) bakal merasai ketiadaan penyokong tegar kelab berkenaan, Allahyarham Fairuz Sirat atau lebih dikenali sebagai Bob Kelab Penyokong Melaka United (KPMU) yang meninggal dunia Isnin lalu.

Malah Allahyarham yang amat dekat di hati pemain, pengurusan dan rakan penyokong kerana sering memberi pandangan membina dan perkongsian positif untuk kemajuan pasukan berkenaan.

Presiden Kelab Penyokong Demi Melaka United (DMU) Mohamad Odiyas Onan berkata, Allahyarham diakui peminat setia pasukan terbabit, kerana setiap perlawanan dia pasti akan menyaksikan perlawanan skuad berkenaan.

Menurutnya, Allahyarham juga amat dekat dengan rakan penyokong malah sentiasa menyemarak semangat dalam menyokong pasukan MU yang bersaing di Liga Malaysia.

"Allahyarham juga sering menyalurkan perkembangan terkini mengenai pasukan Hang Tuah selain sentiasa memberi pandangan positif kepada penyokong setia dan pemain skuad berkenaan.

"Kami barisan penyokong pasukan amat merasai kehilangannya. Apapun kami mendoakan rohnya sentiasa dirahmati Yang Maha Esa," katanya.

Sementara itu, kelab berkenaan turut menzahirkan ucapan sedalam-dalam takziah buat keluarga penyokong setia bola sepak terbabit.

Katanya, Allahyarham seorang penyokong yang sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi buat pasukan dan sentiasa hadir ke stadium memberikan sokongan buat MU pada setiap perlawanan selain banyak memberikan idea dan pandangan demi kemajuan pasukan kesayangannya sejak dahulu lagi.

"Allahyarham turut menzahirkan sokongannya dengan mengasaskan Kelab Penyokong Melaka United (KPMU) yang mempunyai ramai pengikut khusus bagi memberikan sokongan padu serta menyampaikan maklumat berkaitan pasukan kepada penyokong.

"Kami di Melaka United FC amat menghargai segala usaha yang dilakukan Allahyarham demi sokongannya yang tidak pernah padam buat Skuad Hang Tuah sejak dahulu dan sesungguhnya pemergian beliau satu kehilangan besar buat keluarga besar MU," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 4:14 PM