MESSI terlepas 10 aksi Ligue 1 musim ini.
MESSI terlepas 10 aksi Ligue 1 musim ini.
AFP

Paris: Lionel Messi kembali menjalani latihan penuh buat kali pertama bersama Paris Saint-Germain semalam selepas didapati positif Covid-19 penghujung tahun lalu.

Penyerang Argentina itu memanaskan badan bersama rakan sepasukan dalam video yang dimuat naik kelab di Twitter.

Messi dijangkiti virus itu ketika pulang bercuti di Rosario, Argentina ketika rehat musim sejuk Ligue 1.

Pada 5 Januari lalu, PSG mengumumkan dia kembali ke Perancis selepas diuji negatif tetapi pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu hanya semalam berasa cukup cergas untuk kembali berlatih sepenuhnya.

Dia terlepas aksi Piala Perancis menentang Vannes dan dua perlawanan liga, ketika seri 1-1 dengan Lyon dan menang 2-0 ke atas Brest Sabtu lalu.

Messi setakat ini hanya menjaringkan satu gol dalam 11 aksi liga bersama PSG walaupun meledak lima kali dalam saingan Liga Juara-Juara.

Dia terlepas keseluruhannya 10 aksi Ligue 1 sejak Ogos lalu susulan kecederaan, pulang lewat daripada misi antarabangsa bersama Argentina dan kemudiannya dijangkiti Covid-19.

Messi dijangka tampil menentang Reims pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 10:49 AM