LIONEL Messi. FOTO EPA
LIONEL Messi. FOTO EPA
AFP

Paris: Lionel Messi memperoleh keputusan negatif ujian Covid-19 dan kini kembali ke Perancis untuk meneruskan sesi latihan dalam tempoh beberapa hari lagi, umum Paris Saint-Germain (PSG).

Pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak tujuh kali itu didapati positif virus itu ketika berada di Argentina minggu lalu tetapi sudah kembali ke Paris semalam.

Dia terlepas beraksi ketika PSG melakar kemenangan 4-0 ke atas Vannes pada saingan Piala Perancis, Isnin lalu.

Kelab tidak menyatakan sama ada Messi akan diturunkan pada perlawanan pertama Ligue 1 sejak tempoh rehat musim sejuk apabila bertemu Lyon, Ahad ini.

"Ujian yang dijalankan ke atas Leo Messi adalah negatif Covid-19. Dia sudah tiba di Paris dan akan menyambung latihan bersama pasukan dalam tempoh beberapa hari lagi," kata PSG dalam satu kenyataan.

Messi melalui tempoh yang sukar di ibu kota Perancis itu sejak tiba dari Barcelona pada musim panas lalu.

Dia hanya mampu menjaringkan satu gol sepanjang 11 penampilan bersama PSG tetapi meledak lima gol pada kempen Liga Juara-Juara.

PSG juga mengesahkan pemain pertahanan, Layvin Kurzawa didapati positif Covid-19 Rabu lalu dan kini melalui tempoh pengasingan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 10:57 AM