LIONEL Messi. FOTO AFP
LIONEL Messi. FOTO AFP
AFP

Paris: Lionel Messi sekali lagi terlepas untuk beraksi bersama Paris Saint-Germain (PSG) untuk pertemuan dengan Bordeaux pada saingan Ligue 1 minggu ini kerana mengalami kecederaan.

Bagaimanapun ketua jurulatih, Mauricio Pochettino berharap pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak enam kali itu akan dapat beraksi bersama Argentina pada aksi antarabangsa selepas ini.

PSG berkata, Messi tidak akan beraksi di Bordeaux kerana kecederaan lutut dan hamstring.

Ia adalah masalah sama yang dialaminya sehingga tidak diturunkan ketika seri 2-2 dengan RB Leipzig pada saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.

"Esok dia tidak akan beraksi bersama pasukan. Sama-sama kita lihat sama ada dia akan dapat beraksi bersama skuad kebangsaan," kata Pochettino kepada wartawan.

"Kami berharap dia akan dapat beraksi untuk negaranya dan kemudian cergas sebaik kembali."

Argentina akan bertemu Uruguay di Montevideo pada 12 November ini dan kemudian menanti kunjungan Brazil empat hari selepas itu di San Juan dalam usaha mereka untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Messi yang juga bekas penyerang Barcelona, sudah menjaringkan tiga gol pada saingan Liga Juara-Juara namun kemarau jaringan pada saingan domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 10:38 PM