Romelu Lukaku (dua kanan) diasak pemain Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris, pagi ini. FOTO AFP
Romelu Lukaku (dua kanan) diasak pemain Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris, pagi ini. FOTO AFP
AFP

London: Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku meledak gol di Stamford Bridge buat pertama kali ketika dua jaringannya memastikan kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa, pagi ini.

Selepas menjaringkan gol kedua pada penampilan pertama di Chelsea ketika kemenangan di Arsenal pada Ogos, Lukaku mencetak tiga gol daripada tiga penampilan dengan mempamerkan penyudah berbisanya.

Lukaku, sebelum ini beraksi di Chelsea dari 2011 ke 2014, sebelum kembali ke skuad Blues dengan rekod perpindahan kelab dari Inter Milan.

Pemain berusia 28 tahun itu tidak pernah menjaringkan gol di hadapan peminat di laman sendiri Chelsea, tetapi dia melakukannya dalam separuh masa pertama untuk menggembirakan 40,000 peminat yang hadir.

Mateo Kovacic menjaringkan gol kedua Chelsea dan Lukaku meledak gol di detik akhir aksi ketika juara Eropah itu mencatat tiga kemenangan dalam empat perlawanan awal liga.

Chelsea adalah kelab kedua, selepas Manchester United yang memenangi 600 perlawanan Liga Perdana.

Mengulas mengenai impak dipamerkan Lukaku, Tuchel berkata: "Dia berasa penuh yakin dan menyedari apa yang mahu dilakukan pemain itu. Dia begitu yakin meledak gol, jadi ia sangat membantu kami."

Tuchel mengakui Chelsea tidak berada di prestasi terbaik sekalipun mencatat kemenangan selesa pada perlawanan itu.

"Ia sememangnya aksi yang kurang meyakinkan. Lawan memberikan kami banyak masalah, terutamanya pada babak pertama," katanya.

"Ia perlawanan sangat merbahaya buat pasukan yang mempunyai ramai pemain keluar untuk tugas antarabangsa.

"Ia perasaan yang pelik sebelum perlawanan. Saya harap gol pertama boleh memberikan keyakinan, namun ia tidak berlaku."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 7:32 AM