Pele berada dalam keadaan stabil. FOTO Agensi
Pele berada dalam keadaan stabil. FOTO Agensi
Agensi

Sao Paulo: Legenda bola sepak Brazil, Pele dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan ketumbuhan kolon.

Pemain yang memenangi tiga Piala Dunia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kolon pada September lalu, dengan pihak hospital memaklumkan buat masa ini Pele hanya perlu menjalani rawatan lanjut.

Jurucakap pihak Hospital Albert Einstein Sao Paulo berkata ikon bola sepak berusia 81 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan mungkin dapat dikeluarkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Pihak hospital juga memaklumkan Pele hanya meneruskan rawatannya.

Pele menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak 31 Ogos selepas ketumbuhan itu dikenal pasti ketika menjalani rutin rawatan.

Kesihatannya menjadi perhatian sejak beberapa tahun ini. Dia menjalani pembedahan prostat pada 2015 selepas dimasukkan ke hospital buat kali kedua dalam tempoh enam bulan dan dirawat sekali lagi kerana jangkitan pada pundi kencing pada 2019.

Pele melakar sejarah sebagai Penjaring Terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 77 gol dalam 92 perlawanan dan salah seorang daripada empat pemain yang meledak gol dalam empat pertandingan Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 12:34 PM