PELE berdepan masalah kesihatan sejak akhir-akhir ini.
PELE berdepan masalah kesihatan sejak akhir-akhir ini.
AFP

Sao Paulo: Legenda bola sepak Brazil, Pele selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di usus, menurut pengumuman hospital di Sao Paolo, awal pagi tadi.

"Ketumbuhan itu dikesan ketika pemeriksaan rutin kardiovaskular dan dihantar ke unit analisis patologi,'' kata jurucakap Hospital Albert Einstein yang merawat Pele sejak 31 Ogos.

"Saya bersyukur kesihatan masih baik,'' kata legenda berusia 80 tahun di Instagram.

"Saya sudah biasa meraikan kemenangan hebat bersama anda. Saya akan berdepan 'perlawanan' ini dengan senyuman, keyakinan dan kegembiraan bersama keluarga dan rakan."

Pele dijangka keluar daripada rawatan rapi esok, menurut kenyataan itu lagi.

Pele yang nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu dan kerap dimasukkan ke hospital. Terbaru pada April 2019 di Paris akibat radang kencing dan pulang ke Brazil dia menjalani pembedahan membuang batu karang.

Penghujung 2014, dia berdepan jangkitan kuman di bahagian kencing yang serius dan dimasukkan ke rawatan rapi dan menjalani dialisis.

Pele juga mengalami masalah pangkal paha dan memerlukan tongkat ketika tampil di khalayak ramai.

Pada Februari 2020, Pele meyakinkan peminat mengenai tahap kesihatan mental selepas anaknya, Edinho berkata ayahnya turut berdepan kemurungan.

Satu-satunya pemain dalam sejarah yang menjuarai tiga Piala Dunia (1958, 1962 dan 1970), Pele dianggap pemain terhebat sepanjang zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 7:59 AM