PELE mengucapkan terima kasih kepada peminat di atas kata-kata semangat yang diberikan. FOTO AFP
PELE mengucapkan terima kasih kepada peminat di atas kata-kata semangat yang diberikan. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Legenda bola sepak Brazil, Pele dibenarkan keluar daripada unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital dekat sini, awal pagi tadi selepas menjalani pembedahan ketumbuhan kolon.

"Pesakit, Edson Arantes do Nascimento berada dalam keadaan klinikal yang baik dan sudah meninggalkan unit rawatan rapi. Beliau akan menjalani proses pemulihan di wad biasa," kata Hospital Albert Einstein dalam buletin perubatan terbarunya.

"Saya teruskan kehidupan setiap hari dengan lebih gembira, dengan banyak masa untuk bermain 90 minit, ditambah dengan masa tambahan. Kita akan kembali bersama!" tulis Pele di Instagram miliknya sambil, mengucapkan terima kasih kepada peminat di atas kata-kata semangat yang diberikan.

Semalam, anak perempuannya, Kely Nascimento berkongsi perkembangan mengenai kesihatan bapanya itu di media sosial yang disertakan gambar legenda berusia 80 tahun itu.

"Beliau dalam keadaan baik selepas pembedahan, beliau tidak mengalami kesakitan dan perasaannya bagus (merungut dia hanya boleh makan jello tetapi akan bertahan!)," tulis Nascimento.

"Beliau akan ditempatkan di wad biasa esok atau lusa dan kemudian pulang ke rumah.

"Bapa saya seorang yang kuat dan degil namun bersama sokongan serta jagaan terbaik pasukan di Hospital (Albert) Einstein dan kasih sayang yang anda berikan dan sokongan dikirimkan dari seluruh dunia, beliau akan melaluinya dengan baik!" tambahnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 1:01 PM