Pele berdepan masalah kesihatan sejak beberapa tahun ini. FOTO Agensi
Pele berdepan masalah kesihatan sejak beberapa tahun ini. FOTO Agensi
Reuters

Sao Paulo: Legenda bola sepak Brazil, Pele kembali menjalani rawatan susulan di hospital selepas pembedahan kanser kolon tahun lalu menurut pengurus perniagaannya.

ESPN melaporkan, Pele, 81, kembali menjalani rawatan sesi baharu kemoterapi di Hospital Albert Einstein dekat Sao Paulo.

Difahamkan Pele berada dalam keadaan stabil dan mungkin boleh meninggalkan hospital dalam tempoh beberapa hari namun berikutan keadaannya yang lemah dia mungkin dipantau dengan rapat.

Pemenang tiga kali Piala Dunia itu menjalani pembedahan pemindahan kanser kolon pada September 2021 dan dirawat di hospital hampir sebulan dengan pemantauan rapi.

Dia kembali menjalani rawatan di hospital bulan lalu untuk sesi kemoterapi dan dikeluarkan pada 23 Disember.

Pele diiktiraf antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, dia berdepan beberapa masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu, termasuk kecederaan pinggul sehingga menyukarkan dirinya untuk berjalan.

Pele mengurangkan penampilan di khalayak ramai sejak akhir-akhir ini terutama ketika penularan pandemik Covid-19 tetapi dia kekal aktif di media sosial.

Awal minggu ini dia memuatnaik klip video di Instagram mengucapkan tahniah kepada penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo selepas bintang Manchester United itu menerima anugerah khas daripada Fifa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 10:53 AM