PEMAIN  KL City giat menjalani latihan di Cheras. FOTO Bernama
PEMAIN KL City giat menjalani latihan di Cheras. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Status sebagai pasukan 'harapan' penyokong bola sepak tanah air tidak meletakkan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam keadaan tekanan dalam usaha menghalang Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang kejuaraan kali ketiga di pentas final Piala Malaysia esok.

Pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak berkata, status sebagai pasukan 'underdog' menyebabkan mereka bakal beraksi lebih tenang seterusnya mudah untuk fokus pada perlawanan terbabit.

Beliau yang menyedari rata-rata penyokong bola sepak tanah air lebih menyokong mereka turut melihat JDT bakal tampil dengan pasukan serba lengkap sekali gus perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman pasukan itu.

"Kami hanyalah pasukan berstatus 'underdog' namun kita lihat nanti bagaimana perlawanan berlangsung apabila lawan gagal menjaringkan gol awal mungkin akan mula tekanan.

"Sembilan perlawanan dalam tempoh sebulan..sudah tentu mereka lebih tekanan kerana mempunyai dua skuad dan lebih ramai pemain asing. Mungkin satu perkara kelakar akan berlaku.

"Saya melihat rata-rata penyokong bola sepak lebih memilih Kuala Lumpur sekali gus sudah pastinya mahu berikan terbaik kepada mereka," katanya pada sidang media praperlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini. Selain itu, Bojan yang juga bekas pengendali Kelantan dan JDT itu berkata, perlawanan final yang berlangsung di Lembah Klang memberi kelebihan kepada Kuala Lumpur berdasarkan rekod pertemuan tidak pernah tewas di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras.

"Mungkin kelebihan yang ada pada Kuala Lumpur adalah tidak pernah tewas di laman sendiri dan berharap rekod cemerlang itu dibawa ke perlawanan berlangsung di sini (Stadium Nasional Bukit Jalil).

"Semua mahu bermain di pentas final dan sekarang ini adalah kemuncak kepada perlawanan itu (Piala Malaysia) sekali gus berharap perlawanan dalam keaaan baik," katanya.

Selain itu, ketika ditanya mengenai perasan beliau apabila berhadapan dengan bekas pasukan, Bojan berkata perlu bersifat profesional dan hanya menumpukan kepada perlawanan.

"Situasi itu adalah pada 2014 dan 2015 saya sudah melupakannya dan tidak menyimpan apa jua perasaan pada pasukan itu (JDT)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 8:56 PM