PEMANGKU ketua jurulatih Perak FC, Mohd Shahril Nizam Khalil. -FOTO Malik Muhamad
PEMANGKU ketua jurulatih Perak FC, Mohd Shahril Nizam Khalil. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas mengucapkan selamat tinggal perebutan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, pemangku ketua jurulatih Perak FC, Mohd Shahril Nizam Khalil mendedahkan ketiadaan penyerang tulen adalah punca utama pasukannya gagal menjadi pencabar utama dalam saingan Liga Super mahupun Piala Malaysia musim ini.

Malah penolong jurulatih itu yang mengambil alih tugas daripada ketua jurulatih, Chong Yee Fatt tanpa berselindung mengakui kurangnya pengalaman menyaksikan The Bos Gaurus terpaksa akur tersingkir ke Liga Perdana musim depan selain mudah 'diratah' lawan.

"Kita perlu pemain import yang berkualiti termasuk di jentera serangan bagi membantu pasukan dalam saingan liga dan Piala Malaysia, tapi kita tidak ada, inilah kelemahan utama pasukan musim ini yang dilihat kurang tajam di depan gol selain pemain muda kurang pengalaman.

"Situasi ini sudah pasti memberikan tekanan kepada saya untuk membentuk pasukan yang lebih mantap selepas mengambil alih tugas daripada Yee Fatt pada Ogos lalu.

"Namun saya tetap positif dengan meletakkan tekanan itu sebagai pengalaman kepada saya agar lebih matang lagi untuk saingan akan datang," katanya.

Dalam aksi Kumpulan B itu Perak FC terpaksa akur tewas kepada Terengganu FC (TFC) 0-4.

Pada perlawanan itu, gol skuad Penyu dijaringkan tiga pemain import iaitu Makan Konate, David Da Silva dan Dechi Marcel pada babak pertama manakala gol keempat disumbat Faisal Halim pada separuh kedua menerusi sepakan penalti.

Mengulas perlawanan itu, Mohd Shahril menjelaskan beliau sudah mengerah idea dan strategi untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata di tempat lawan selepas kecundang 1-4 pada aksi pusingan pertama di Ipoh Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 11:33 AM