ZUHAIR (kanan) mahu pikat hati Dollah supaya kerap diturunkan.
ZUHAIR (kanan) mahu pikat hati Dollah supaya kerap diturunkan.
Asrol Awang


KUANTAN: Pemain muda Pahang, Zuhair Aizat Nazri tidak mahu terus menjadi pemerhati di tepi padang bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Justeru, pemain kelahiran Kuala Lipis itu sudah sedia memikat hati jurulatih, Dollah Salleh untuk menjadi tonggak utama skuad Tok Gajah musim 2019.

“Saya akui musim ini jurulatih memberi peluang saya beraksi dalam Liga-M termasuk Piala Malaysia tapi sebagai pemain, saya mahu lebih kerap diturunkan.

“Oleh itu, sebagai pemain muda dan memasuki musim kedua bersama Pahang, saya sedia merebut tempat dalam kesebelasan utama biarpun akur perlu bersaing dengan rakan sepasukan yang lebih berpengalaman.

“Namun, tiada yang mustahil untuk melakukannya kerana berbekalkan pengalaman pertama di Liga-M musim ini, banyak perkara yang dipelajari untuk menjadi pemain yang bagus,” kata pemain tengah itu.

Zuhair berkata, satu gol sumbangannya pada saingan Piala Malaysia musim ini juga mencetus keyakinan buatnya untuk bertindak lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 1:51 PM