Aksi pemain Kuala Lumpur, Guilherme De Paula Lucrecio menjaringkan gol ketika aksi perlawanan Liga Super 2019 Kuala Lumpur menentang Kedah di Stadium KLFA, Bandar Tun Razak, Sabtu lalu. FOTO Eizairi Shamsudin.
Aksi pemain Kuala Lumpur, Guilherme De Paula Lucrecio menjaringkan gol ketika aksi perlawanan Liga Super 2019 Kuala Lumpur menentang Kedah di Stadium KLFA, Bandar Tun Razak, Sabtu lalu. FOTO Eizairi Shamsudin.
Syazwan Msar


KETUA Jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt menjadi antara individu penting yang merencanakan kemenangan pasukan terbabit ketika bertemu Kedah, Sabtu lalu apabila beliau lebih ‘diminati’ di kalangan pemain sekali gus mengelak daripada berlakunya unsur sabotaj.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa berkata, pihak pengurusan ‘terpaksa’ akur terhadap pilihan pemain yang mahukan Yee Fatt terus menggalas cabaran mengendalikan pasukan berkenaan pada musim ini.

Nokman berkata, Yee Fatt sudah membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai masalah berbuat demikian malah berjaya meraih kemenangan pertama dengan menewaskan Kedah, 2-1.

“Jika diikutkan pemain import yang ada tidaklah 100 peratus cergas dan kehadiran mereka dalam kesebelasan utama pada perlawanan terbabit penting bagi menaikkan semangat dan keyakinan rakan lain.

“Yee Fatt memainkan peranan dengan mampu memberikan arahan seterusnya diikuti oleh semua pemain sekali gus tiada masalah untuk mengatur strategi serangan ke kubu lawan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Selain itu, Nokman berkata, pengurusan tidak akan menggantikan Yee Fatt dengan jurulatih asing dan percaya terhadap kemampuan pengendali tempatan yang lebih berkebolehan serta mudah untuk berinteraksi dengan pemain.

“Kami mengikuti saranan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B Sathianathan yang mengatakan pengendali tempatan sebenarnya lebih bagus dan tidak hanya berharap kepada jurulatih asing untuk membawa perubahan kepada pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 8:03 PM