SKUAD Harimau Malaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Amman. FOTO Azhar Ramli
SKUAD Harimau Malaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Amman. FOTO Azhar Ramli
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Di atas kertas standard dan kualiti dua pasukan handalan iaitu Jordan dan Uzbekistan jelas lebih baik daripada skuad Harimau Malaya.

Malah, kedudukan ranking turut menjadi bukti perbezaan ketara antara pasukan negara yang kini menghuni tangga 154 dunia berbanding Jordan dan Uzbekistan dengan masing-masing di kedudukan 93 dan 84.

Begitupun, pengendali negara Tan Cheng Hoe tidak mahu pemain terlalu bimbang dengan situasi terbabit apabila sebaliknya mengakui mahu pemain mengambil kesempatan ini dengan belajar sesuatu menerusi aksi persahabatan antarabangsa itu.

Katanya, perkara paling mustahak adalah barisan pemainnya dapat diuji dalam perlawanan Tier 1 itu sebagai medan persiapan terbaik sebelum mengharungi saingan Piala AFF Disember ini dan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari tahun depan.

"Perlawanan persahabatan dengan Jordan dan Uzbekistan ini merupakan satu perlawanan pendedahan dan ujian yang terbaik kerana saya rasa pemain-pemain akan dapat pengalaman terbaik bermain dengan negara-negara terbabit.

"Kita tahu mereka jauh dan lebih baik daripada kita, dan pada masa yang sama, kita juga perlu menguji pemain-pemain atau muka-muka baharu.

"Ia sebagai masa hadapan juga supaya mereka (pemain negara) sentiasa bersedia apabila skuad kebangsaan memanggil mereka nanti," katanya.

Skuad negara berangkat ke Amman, Jordan awal pagi tadi dan dijadual berdepan Jordan pada Rabu ini sebelum turun bertemu Uzbekistan tiga hari kemudian.

Jelas Cheng Hoe lagi, beliau terpaksa menggugurkan dua pemain pada saat akhir dengan hanya membawa 22 tonggak selepas kesuntukan masa untuk mencari pengganti.

"Kita barisan kejurulatihan sudah membuat keputusan kekalkan 22 pemain untuk di bawa ke Jordan dan kita kesuntukan masa memanggil mana-mana pemain untuk menyertai skuad kebangsaan kali ini," katanya.

Semalam, skuad negara memulakan latihan hari pertama di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.

Namun daripada 24 pemain yang dipanggil, hanya dua yang terpaksa digugurkan iaitu pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar yang disahkan mengalami kecederaan serta pertahanan Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni yang tidak melaporkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 5:54 PM