Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe. FOTO File NSTP
Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dibolosi sembilan gol dalam dua aksi persahabatan di Amman, Jordan adalah fokus utama pengendali negara, Tan Cheng Hoe selepas ini bagi memperbaiki kelemahan di bahagian itu yang dilihat cukup tenat.

Katanya, keputusan tewas 0-4 dan 1-5 di tangan Jordan dan Uzbekistan tidak boleh dibiarkan dan beliau akan memastikan 'lubuk' itu ditutup sebaiknya menjelang saingan Piala AFF Disember ini dan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari depan.

"Memang kita nampak statistik yang tidak memuaskan bukan sahaja kami barisan jurulatih tetapi juga semua orang mempertikaikan dua perlawanan itu apabila kita dibolosi sembilan gol.

"Adakah ia disebabkan oleh pertahanan atau keseluruhan pasukan atau kesilapan individu yang kita perlu perbaiki?

Sudah tentu dalam perlawanan antarabangsa seperti ini, jika pasukan tidak dapat bergerak sebagai satu pasukan, tidak dapat membuat hantaran yang tepat dan sering hilang bola kita akan ditekan oleh lawan.

"Sebab itu kita tidak dapat bertahan sehingga 90 minit. Saya sentiasa beri nasihat kepada pemain supaya tingkatkan permainan, kawalan bola kita dan juga hantaran yang penting apabila kita dapat rampas bola," katanya.

Jelasnya lagi, kekurangan pengalaman di pentas antarabangsa juga antara faktor mengapa skuad kali ini gagal mencapai keputusan positif dalam aksi terbabit.

"Kita tak boleh nak kata kita sudah capai objektif kerana jauh lagi untuk membandingkan kita dengan pasukan-pasukan dari Asia Barat dan Asia Tengah. Masih lagi perlu buat kerja-kerja rumah yang terbaik untuk persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2023.

"Daripada dua perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan ini, nampak kita masih lagi memerlukan pemain-pemain yang lebih berpengalaman di medan antarabangsa dan pemain-pemain yang ada keinginan untuk meningkatkan prestasi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 11:31 PM