Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. FOTO Azhar Ramli
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. FOTO Azhar Ramli
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiada 'tangan-tangan ghaib' atau desakan dari mana-mana pihak dalam menentukan pemilihan pemain skuad Harimau Malaya yang di bawa ke Amman, Jordan ketika ini dan pemilihan dibuat berdasarkan kepada prestasi semasa pemain di Liga Malaysia (Liga M).

Jelas pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe, beliau menafikan dan menolak sekeras-kerasnya dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dirinya seolah-olah diarahkan oleh pihak tertentu dalam soal pemilihan pemain.

Malah, pengendali yang berasal dari Kedah itu juga mengakui tidak 'termakan' hasutan netizen di laman sosial yang sebelum ini mendesak supaya skuad kebangsaan dibarisi pemain yang memiliki minit permainan banyak dalam Liga M.

"Kami selalu memantau pemain-pemain dalam Liga M terutama pemain-pemain muda yang berpotensi besar kita akan beri peluang, bukan disebabkan seruan daripada mana-mana pihak untuk memanggil pemain tersebut," katanya.

Persoalan itu kembali timbul susulan kekalahan besar 0-4 kepada Jordan Rabu lalu yang menyaksikan skuad negara dikritik lagi kerana gagal memberi tentangan dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Amman, Jordan itu.

Pada Jun lalu, pasukan kebangsaan yang gagal di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 turut dihentam oleh peminat yang mahu Cheng Hoe membariskan pemain lebih baik dengan menitik beratkan soal minit permainan dalam liga.

Lantas, dalam tugasan di Amman, Jordan ini, seramai tujuh muka baharu diberi peluang dengan hampir separuh pemain utama skuad Harimau Malaya tidak disenaraikan kali ini.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe mengakui pemain muda yang diturunkan ketika menentang Jordan dilihat mempunyai potensi besar untuk digilap sekali gus bakal menjadi prospek masa depan buat skuad negara selepas ini.

"Sudah tentu apabila mereka bersama skuad kebangsaan, mereka nampaknya ada ciri-ciri atau kriteria-kriteria yang boleh diserapkan kepada skuad kebangsaan pada masa hadapan.

"Kita pun rasa kita perlukan kelompok pemain yang ramai supaya kita sentiasa bersedia untuk pentas antarabangsa walaupun perlawanan persahabatan ataupun pertandingan… kita lebih bersedia daripada sebelum ini.

"Kita kadang-kadang tercari pemain sekiranya ada pemain yang dapat kecederaan atau pergantungan perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 9:04 PM