Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamad (tengah), melakukan gimik penutup ketika majlis perasmian dan penutup Liga Sepakan Penalti di Sports Garage, Peraling Jaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamad (tengah), melakukan gimik penutup ketika majlis perasmian dan penutup Liga Sepakan Penalti di Sports Garage, Peraling Jaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Oleh Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Kesuntukan masa untuk mempersiapkan pasukan menjelang saingan Piala AFF pada 6 Disember ini bukan alasan buat skuad Harimau Malaya hadir ke bumi Singapura dengan serba kekurangan.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed sebaliknya percaya dan yakin, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe akan mampu memberi tentangan sengit sepanjang kejohanan serantau itu.

Malah katanya, sasaran ke final yang ditetapkan pengurusan juga relevan dan percaya pemain negara akan mampu merealisasikan misi itu.

"Saya rasa pemain sudah melalui banyak perlawanan termasuk aksi persahabatan di Jordan (tewas kepada Jordan 0-4 dan 1-5 kepada Uzbekistan. Jadi, itu (kekurangan persiapan) bukan alasan kepada pemain untuk memastikan pasukan kita layak ke final Piala AFF," katanya ketika ditemui pada program Liga Penalti Rakyat dan Raja Penalti yang berlangsung di Sports Garage, di sini, semalam.

Kem latihan kebangsaan akan dijalankan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan pemain-pemain yang gagal ke final Piala Malaysia bermula 26 November ini, sebelum skuad penuh dihimpunkan pada 30 November sejurus pentas final berakhir nanti.

Untuk rekod, aksi pertama skuad negara dalam kempen Kumpulan B pada 6 Disember berdepan Kemboja dan ia bermakna pasukan kendalian Cheng Hoe hanya memiliki enam hari untuk melakukan persiapan.

Sementara itu, Firdaus mengesahkan saingan Piala Belia dan Piala Presiden akan kembali mewarnai kancah bola sepak negara pada Februari tahun depan.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sudah meluluskan untuk kedua-dua saingan piala berkenaan diadakan selepas terhenti selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

"Jawatankuasa Pertandingan bermesyuarat pada September. Kita sudah bersetuju untuk mengadakan Piala Belia dan Presiden pada pertengahan atau akhir bulan dua.

"Format juga seperti sebelum ini dan ia sebagai satu usaha untuk memastikan perkembangan bakat baharu tidak terbantut selepas piala ini terpaksa dibatalkan selama dua tahub berturut-turut akibat Covid-19," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 7:05 AM