TAN Cheng Hoe. FOTO Azhar Ramli
TAN Cheng Hoe. FOTO Azhar Ramli
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tujuh muka baharu yang pertama kali dipanggil ke dalam skuad Harimau Malaya berpeluang merebut tempat seandainya menunjukkan aksi memberangsangkan dalam dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan pada Rabu dan Sabtu ini di Amman, Jordan.

Ia diakui pengendali negara, Tan Cheng Hoe yang bersedia mengekalkan khidmat mereka terutama menjelang saingan Piala AFF yang dijadual berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari depan.

Ini bermakna, beberapa tonggak utama atau senior yang tidak di bawa ke Amman, Jordan berdepan 'masalah besar' kemungkinan tempat mereka bakal diisi, sekali gus tersingkir daripada skuad kebangsaan.

"Saya harapkan agar mereka (pemain baharu) dapat menyesuaikan diri dan dalam masa yang sama dapat keyakinan bermain dengan pasukan Jordan dan Uzbekistan.

"Saya juga mahu menguji pemain baharu yang dipanggil agar mereka boleh bersedia apabila skuad negara memanggil mereka nanti untuk aksi kejohanan yang lebih besar. Saya rasa ini pentas paling terbaik untuk menguji mereka," katanya.

Pada kem latihan kali ini, Cheng Hoe hanya membawa 22 pemain dengan tujuh daripadanya adalah muka baharu yang pertama kali dipanggil.

Tujuh pemain itu adalah penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; dua pemain Kedah Darul Aman FC, Ariff Farhan dan Fayadh Zulkifli; pemain Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Selebihnya adalah muka lama yang dikekalkan ketika kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia di Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu serta beberapa tonggak yang pernah dipanggil sebelum ini.

"Kita tahu ini masa terbaik nak uji pemain baharu, termasuk pemain senior (yang pernah dipanggil) bagi membentuk pasukan, seterusnya bersedia untuk Piala AFF 2020 dan Kelayakan Piala Asia 2023 (Februari tahun depan) nanti," kata Cheng Hoe yang juga bekas pemain negara.

Berdasarkan rekod, Malaysia seri dan tewas dua kali dalam empat pertemuan menentang Jordan dengan terbaharu skuad Cheng Hoe itu tumpas 0-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Ogos 2019 dan skuad negara juga tidak pernah mencatat sebarang kemenangan sepanjang enam pertembungan dengan Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 4:41 PM