AKSI Benzema (kiri) pada perlawanan bertemu Alaves. FOTO AFP
AKSI Benzema (kiri) pada perlawanan bertemu Alaves. FOTO AFP
AFP

Madrid: Dua gol sumbangan penyerang veteran Perancis, Karim Benzema membantu Real Madrid melakar kemenangan 4-1 ke atas Alaves sekali gus menyaksikan Carlo Ancelotti meraih kemenangan pertama ketika kali kedua membimbing kelab gergasi Sepanyol itu.

Seteru utama mereka, Barcelona kehilangan Lionel Messi tetapi Real sendiri dalam proses peralihan selepas menyaksikan Zinedine Zidane meletak jawatan selaku jurulatih selain Sergio Ramos dan Raphael Varane masing-masing berhijrah ke PSG dan Manchester United.

Meksipun kekal mempunyai nama-nama besar, Real masih tidak dapat menyekat Atletico Madrid daripada memenangi gelaran La Liga musim lalu.

Selepas gagal meraih gol di babak pertama, Real mula menemui rentak pada separuh masa kedua menerusi gol pertama Benzema minit ke-48.

Nacho menambah gol kedua minit ke-56 berpunca daripada sepakan penjuru Luka Modric dan Benzema menjadikan kedudukan semasa 3-0 minit ke-62.

Joselu merapatkan jurang menerusi sepakan penalti untuk tuan rumah minit ke-65 namun tandukan Vinicius pada masa kecederaan mengesahkan kemenangan Real.

"Untuk memanggil Benzema sebagai seorang penyerang adalah tidak adil untuknya. Dia seorang pemain yang serba lengkap dan konsisten sejak lima tahun lalu.

"Pada separuh masa pertama kami kurang intensiti tetapi gol pertama Benzema menghidupkan kembali perlawanan," kata Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 8:10 AM