GAYA  Bellingham selepas menjaringkan gol kemenangan Madrid. FOTO Reuters
GAYA Bellingham selepas menjaringkan gol kemenangan Madrid. FOTO Reuters
AFP

Barcelona: Jude Bellingham muncul wira Real Madrid selepas meledak gol kemenangan minit ke-95 untuk menewaskan Getafe 2-1 sekali gus mengekalkan permulaan sempurna Los Blancos di La Liga awal pagi tadi.

Pemain England itu menjaringkan gol kelimanya dalam empat perlawanan untuk Madrid yang turun tanpa penyerang Vinicius Junior meraih tiga mata dalam aksi 'derby' itu.

Joselu menyamakan kedudukan selepas bekas penyerang Madrid Borja Mayoral meletakkan pelawat di depan dalam perlawanan berlangsung di stadium yang baharu sahaja dinaik taraf.

Pendahulu La Liga Madrid memulakan musim dengan tiga perlawanan di tempat lawan ketika kerja ubah suai dilakukan terutamanya membabitkan bumbung mudah alih.

"Suasana mengagumkan," kata jurulatih Real Madrid Carlo Ancelotti kepada wartawan."Saya fikir penyokong banyak membantu kami dan kami menang akhirnya."

Penyokong Madrid memberikan tepukan gemuruh selepas tamat perlawanan dan menyanyikan lagi popular The Beatles 'Hey Jude' yang ditujukan kepada Bellingham.

"Ketika mereka menyanyikan 'Hey Jude', saya rasa terharu," kata Bellingham kepada TV Real Madrid TV. "Saya hanya mahu berdiri tegak dan mendengar mereka. Kaki saya menggeletar."

Bekas penyerang Borussia Dortmund itu kini menjaringkan lima daripada lapan gol Madrid dalam saingan La Liga musim ini sekali gus mengisi kekosongan ditinggalkan pemenang Ballon d'Or Karim Benzema.

Bellingham turut tersenarai antara pemain yang meledak gol dalam empat aksi pertama La Liga termasuk penjaring gol sepanjang zaman Madrid Cristiano Ronaldo.

Getafe tidak menyenaraikan penyerang pinjaman mereka dari Manchester United Mason Greenwood ke dalam skuad selepas tiba kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 8:29 AM