AKSI antara skuad Projek FAM-MSN dan JDT II yang menyaksikan pasukan tuan rumah menang 5-1. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
AKSI antara skuad Projek FAM-MSN dan JDT II yang menyaksikan pasukan tuan rumah menang 5-1. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Belumpun kaki menjejak masuk ke stadium, pemain saya sudah mula rasa gemuruh kerana nama JDT yang bagi mereka terlalu besar.

Itu yang diluahkan pengendali skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah selepas barisan pemain pasukan itu mudah diratah Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 1-5 pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Yusri menambah, pemainnya terlalu menghormati nama JDT yang terlalu besar buat mereka sehingga begitu mudah beri ruang terlalu banyak untuk pemain JDT II bergerak bebas dan akibatnya ketinggalan 3-0 pada babak pertama.

"Permulaan babak kedua, kami cuba memberi tentangan bagi mengelak pemain JDT II menguasai perlawanan tapi malangnya pemain saya tidak fokus dan kerap buat kesilapan dan mudah buat pemain JDT II menambah jaringan.

"Apapun selepas mengharungi 16 perlawanan tatkala masih belum meraih kemenangan, saya lihat tahap keyakinan pemain muda yang kebanyakan berusia 18 tahun kerap agak gugup terutama pada babak pertama tapi di babak kedua baru nampak kesungguhan.

"Harus diberi penjelasan bahawa mereka bukanlah barisan pemain tahap peringkat pertama di negara seperti pemain profesional yang lain. Mereka baru sahaja membabitkan diri dalam saingan profesional dan diberi pendedahan beraksi di perlawanan kompetitif yang tinggi," katanya.

Yusri bagaimanapun optimis barisan pemain skuad Projek FAM-MSN memiliki peluang cerah pada musim depan tatkala pendedahan pertama kali beraksi di kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) mampu melonjakkan tahap keyakinan pemainnya.

Sementara itu, pengendali JDT II, Rafael Gil Sanchez tampak geram dengan gelagat pemain importnya, Fernando Rodriguez yang berlengah untuk digantikan dan akibatnya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Jubik Andangon.

"Akibat tindakan itu, Fernando tidak dapat beraksi pada perlawanan menentang PDRM FC, Rabu ini selepas mengutip tiga kad kuning. Dia perlu bersikap profesional kerana aksi seterusnya penting bag JDT II.

"Apapun kemenangan 5-1 beri lebih keyakinan kepada pemain JDT II untuk mengharungi baki enam perlawanan dan gembira dengan aksi dua pemain muda Muhamad Alif (Abdul Mutalib) dan Chia Ruo Han yang konsisten sepanjang perlawanan," kata Sanchez.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 2:25 PM