YUSRI ketika sidang media selepas tamat perlawanan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
YUSRI ketika sidang media selepas tamat perlawanan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun kalah teruk selepas dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) 0-5, tapi pengendali Perak FC, Yusri Che Lah tidak kecewa dengan keputusan itu pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Sebaliknya beliau sudah menjangka akan kekalahan itu dan menyifatkan ada rahmat dengan apa yang berlaku malah ia juga memberi pendedahan terbaik buat pemain muda yang turun beraksi pada perlawanan itu.

"Menentang JDT memberi ruang buat pemain saya mendapat pendedahan terbaik bagi persiapan berdepan Kedah pada aksi kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia di mana mereka tahu bagaimana untuk berdepan pasukan yang hebat seperti JDT.

"Saya enggan mengambil risiko untuk turun tiga pemain import iaitu Seo Seon-ung yang masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan kecil hidungnya, selain Luka Milunovic yang mengalami kecederaan di kaki.

"Malah saya juga berdepan kesukaran apabila pemain yang kita ada tidak mencukupi untuk membuat penggiliran dan saya amat bersyukur kerana tanpa beberapa tonggak utama, kita hanya tewas dengan lima jaringan dan tidak dibolosi dengan gol yang banyak," katanya.

Yusri juga mengesahkan bakal kehilangan A Shivan Pillay untuk aksi liga seterusnya selepas pemain itu mengumpul tiga kad kuning dan ia menjejas perancangan skuad The Bos Gaurus mengharungi aksi liga.

Ditanya mengenai tindakannya yang mengekalkan penjaga gol T Shaheeswaran untuk menjaga gawang Perak FC selepas pemain itu begitu mudah melepas tiga gol pada babak pertama, Yusri tampak menaruh kepercayaan kepada penjaga gol berkenaan.

"Kita berada di penghujung liga dan bukan tempat untuk membuat eksperimen dan bagi saya apabila mengalami perubahan dan penjaga gol adalah posisi yang penting malah persembahan Shaheeswaran tidak mengecewakan sudah pasti tiada keperluan menukar penjaga gol.

"Walaupun Shaheeswaran melakukan kesilapan besar apabila menghadiahkan gol ketiga buat JDT tapi dia perlu bangkit semula terutama aksi menentang Kedah pada saingan Piala Malaysia.

"Apapun saya tidak menafikan Bryan See juga berada di prestasi terbaik tapi persaingan yang sihat antara Shaheeswaran dan Bryan membolehkan saya pilih penjaga gol terbaik untuk menjaga gawang gol Perak," kata Yusri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 1:47 PM