Yusri Che Lah mahu pemain bangkit semula memperbaiki keputusan selepas tewas 0-3 kepada KDA FC. -FOTO Syaharim Abidin
Yusri Che Lah mahu pemain bangkit semula memperbaiki keputusan selepas tewas 0-3 kepada KDA FC. -FOTO Syaharim Abidin
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Pengendali sementara skuad Perak FC Yusri Che Lah mengakui skuadnya yang dibarisi ramai pemain muda gagal menyaingi kekuatan skuad Kedah Darul Aman FC selepas kecundang 0-3 pada aksi ke-14 Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Yusri yang kali kedua mengendalikan skuad Seladang selepas menggantikan Ketua Jurulatih Lim Teong Kim berkata, faktor menyerap tekanan dikalangan pemain mudanya dan jurang perbezaan kekuatan yang besar menyebabkan pemainnya tidak mampu bangkit mencari mata berharga si tempat lawan.

"Selepas beberapa perlawanan dengan keputusan tidak memihak kepada kami, kami hadir ke sini dengan corak bertahan dan itu realitinya kerana kita tahu kekuatan pasukan Kedah terlalu jauh untuk dibandingkan dengan pasukan kami.

"Kami dibolosi pada babak pertama melalui hasil pergelutan yang kami pun kurang pasti dari mana punca jaringan itu terhasil dan apa yang cuba kami lakukan adalah cuba bangkit semula dengan aksi lebih baik pada babak kedua.

"Kebanyakannya pemain kami adalah pemain bawah 23 tahun yang membarisi kesebelasan utama dan hanya itu yang kami ada disamping pemain yang mengalami kecederaan dan penggantungan," katanya.

Yusri juga mengakui skuadnya perlu diimbangi dengan kekuatan tenaga penyerang import yang mana ini ada pada hampir semua skuad Liga Super yang sedang beraksi bagi memastikan kemampuan yang tinggi dalam memberi saingan.

"Liga kita ini memerlukan pemain import dan jika kita lihat pasukan Kedah jika beraksi dengan satu import sahaja maka keadaan perlawanan juga mungkin akan berubah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 2:12 PM