AKSI antara Perak dan Kelantan malam tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Perak dan Kelantan malam tadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengakui barisan pemain Kelantan FC bagaikan sudah tawar hati atau tidak ada keinginan untuk beraksi menyebabkan skuad The Bos Gaurus mampu mencipta kemenangan besar 8-0 pada pertemuan di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Yusri berkata, faktor terbabit mendorong barisan anak buahnya mampu beraksi dengan baik dengan menterjamahkan setiap peluang kepada jaringan gol sekali gus memastikan Perak FC mencipta rekod pada musim ini memperoleh kemenangan terbesar selepas mengharungi 23 perlawanan Liga Super.

Beliau berkata, kemenangan terbabit juga meniup semangat barisan pemain untuk beraksi cemerlang apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) hujung minggu ini.

"Bagi saya mungkin disebabkan pasukan lawan (Kelantan FC) yang memberikan ruang yang besar dan mungkin mereka juga tidak ada keinginan untuk beraksi tetapi dari kaca mata saya, para pemain telah mengikuti apa yang kita nak.

"Walaupun kita ketinggalan tiga jaringan kepada pasukan Johor, tetapi malam ini (kemenangan ke atas Kelantan) memberikan sedikit keyakinan kepada para pemain. Seandainya mereka mengikut pelan asal pasukan, kita akan memperoleh kejayaan," katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan, Perak FC mengganas pada aksi ke-23 Liga Super apabila membelasah Kelantan FC 8-0.

Kemenangan itu adalah yang terbesar buat skuad The Bos Gaurus pada kempen musim ini sekali gus menggenggam tiga mata penuh di depan penyokong sendiri.

Malah, kejayaan itu juga membolehkan anak buah Yusri Che Lah terus mendaki tangga liga dengan meraih 22 mata setakat ini untuk berada di posisi kesembilan daripada 14 pasukan.

Selain itu, Yusri turut memberi peringatan kepada anak buahnya supaya tidak terbuai mimpi indah dengan kemenangan terbabit namun perlu bersedia mengharungi perlawanan cukup getir bertemu JDT kelak.

"Saya percaya kemenangan pada malam ini akan menaikkan semangat mereka bagi menghadapi JDT di Stadium Sultan Ibrahim, namun kita tidak boleh dibuai terlalu lama dan fokus kita akan dialihkan kepada aksi Piala Malaysia pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 2:48 PM