Penyerang Perancis, Kylian Mbappe kecewa selepas gagal menyempurnakan penalti terakhir sebelum tersingkir dalam kelompok 16 terakhir kepada Switzerland di Euro 2020. FOTO AFP
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe kecewa selepas gagal menyempurnakan penalti terakhir sebelum tersingkir dalam kelompok 16 terakhir kepada Switzerland di Euro 2020. FOTO AFP
AFP

London: Bekas penyerang Perancis, Nicolas Anelka percaya Kylian Mbappe perlu mengikut teladannya meninggalkan Paris Saint-Germain untuk beraksi di negara luar jika mahu dirinya diiktiraf sebagai pemain terbaik dunia.

Mbappe yang menyertai PSG pada 2017, kini memasuki musim terakhir kontraknya di ibu kota Perancis ketika spekulasi mengaitkan dirinya dengan perpindahan ke Real Madrid.

Disebalik meluangkan masa selama empat musim disamping Neymar di Parc des Princes, gandingan bintang itu gagal memberikan kejuaraan Liga Juara-Juara yang pertama buat PSG dan tewas gelaran Ligue 1 musim lalu kepada Lille.

Anelka mempunyai misi singkat di Madrid selepas menyertai Arsenal dari PSG ketika zaman remajanya pada 1997.

"Jika dia mahukan penghargaan besar, dia harus berpindah dari PSG dengan tujuan sama," tulis Anelka dalam surat terbuka yang diterbitkan The Athletic.

"Apapun anda lakukan di Paris adalah bagus, tetapi seseorang akan sentiasa berkata, "Jadi, kamu melakukan perkara hebat di PSG tetapi ia hanya di Perancis. Liga terbaik adalah di England dan Sepanyol, jadi kamu tidak bersaingan dengan pemain terbaik dalam liga terbaik."

Mbappe membuktikan dirinya sebagai bintang global pada Piala Dunia 2018 di mana empat gol jaringannya membantu Perancis menjadi juara buat kali kedua.

Bagaimanapun, prestasinya jauh daripada keupayaan sebenar ketika skuad kendalian Didier Deschamps tersingkir dari saingan Euro 2020 dalam kelompok 16 terbaik kepada Switzerland menerusi penentuan penalti, minggu lalu.

Mbappe pemain tunggal yang gagal menyempurnakan penalti terbabit, selain menamatkan kempen kejohanan tanpa meledak sebarang gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 9:39 PM