MBAPPE ledak hatrik ketika menentang Brugge. - FOTO AFP
MBAPPE ledak hatrik ketika menentang Brugge. - FOTO AFP
Agensi

RIVALDO yakin Kylian Mbappe perlu meninggalkan Paris Saint-Germain dan beraksi di La Liga atau Liga Perdana Inggeris jika mahu menjadi sehebat Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Mbappe muncul salah seorang penyerang terbaik dunia selepas membantu Monaco dan PSG menjulang trofi selain membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018.

Bintang berusia 20 tahun itu yang tersenarai untuk anugerah Ballon d'Or terus dikaitkan dengan gergasi La Liga, Real Madrid susulan prestasi cemerlang bersama juara Ligue 1 di Paris.

Ketika Ronaldo meragui peluang bekas kelabnya, Barcelona menandatangani Mbappe, dia menggesa bintang Perancis itu meninggalkan PSG bagi menyerlahkan lagi bakatnya.

"Saya fikir sukar untuk Barcelona mendapatkannya pada masa depan kerana harga Mbappe terlalu mahal sesuai dengan usianya yang masih muda, status juara dunia dan kemampuan semula jadi menjadikan dia salah seorang prospek terbesar dalam dunia bola sepak,” kata Rivaldo kepada Betfair.com.

"Jika Barca berdepan banyak masalah mendapatkan Neymar, bayangkan jumlah diminta PSG jika mahu mendapatkan Mbappe, jadi amat sukar membawa pemain berbakat besar ini ke Catalonia pada masa sekarang.

"Tidak diragui Mbappe mempunyai kualiti menjadi salah seorang pemain terbaik dunia. Dia boleh menyerlahkan lagi kemampuan dengan beraksi di La Liga atau Liga Perdana. Ligue 1 jelas satu tahap di bawah liga Sepanyol atau England.

"Walaupun saya menghormati PSG, saya tetap yakin dia perlu berpindah ke Sepanyol atau England pada masa depan untuk mengesahkan dirinya sehebat Messi atau Ronaldo. Pemain terbaik perlu beraksi di liga terbaik."

Mbappe yang masuk dari bangku simpanan meledak hatrik ketika PSG membelasah Club Brugge 5-0 dalam aksi Liga Juara Juara pada Rabu lalu.

Bintang PSG itu muncul pemain termuda menjaringkan 15 gol di Liga Juara Juara pada usia 20 tahun, 306 hari mengatasi Messi bersama Barca yang berusia 21 tahun, 288 hari.

Mbappe juga menjaringkan enam gol dalam semua kejohanan bersama PSG musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 12:40 PM