MBAPPE mahu tinggalkan PSG.
MBAPPE mahu tinggalkan PSG.
AFP

Paris: Presiden Paris Saint-Germain Nasser Al-Khelaifi berkata, dia mahu Kylian Mbappe kekal di ibu kota Perancis itu dan mendakwa PSG adalah kelab terbaik untuknya.

Kontrak Mbappe dengan juara Ligue 1 berakhir penghujung Jun dan dia bebas menyertai kelab baharu untuk musim depan.

"Terus terang saya mahu Kylian kekal," kata Al-Khelaifi kepada stesen penyiar RMC.

"Pemain terbaik dunia ialah Kylian dan kelab terbaik untuknya ialah Paris."

PSG masih belum menjulang trofi Liga Juara-Juara walaupun menghabiskan berbilion ringgit menerusi yuran perpindahan sejak kedatangan pemilik dari Qatar itu pada 2011.

Mbappe kerap dikaitkan dengan perpindahan ke juara Eropah 14 kali Real Madrid.

"Dia mempunyai pusat latihan terbaik dunia dan jurulatih terbaik (Luis Enrique)," kata Al-Khelaifi.

"Setiap tahun dia beraksi di Liga Juara-Juara, kami mara ke peringkat 16 sekurang-kurangnya, suku akhir malah separuh akhir atau final dan kami bersaing dengan kelab-kelab besar yang lain."

Sumber terbabit dengan rundingan kontrak Mbappe memberitahu AFP minggu lalu, penyerang Perancis itu sedia melepaskan bonus berpuluh juta ringgit dalam usahanya meninggalkan PSG.

Namun Al-Khelaifi menegaskan sama ada Mbappe kekal atau tidak ia tiada kaitan dengan wang.

"Kami ada banyak perlawanan sangat penting, saya minta anda biarkan Kylian seorang."

Mbappe menjaringkan 24 gol dalam semua kejohanan untuk PSG yang kini selaku pendahulu Ligue 1 musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 8:29 AM