Legenda bola sepak negara, Abdul Rahman Ibrahim. FOTO Malik Muhamad.
Legenda bola sepak negara, Abdul Rahman Ibrahim. FOTO Malik Muhamad.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Saya jangkakan Terengganu FC (TFC) mampu mara lebih jauh dalam Piala AFC musim ini," demikian reaksi legenda bola sepak negara, Abdul Rahman Ibrahim, 75.

Bekas pertahanan skuad Olimpik negara di Munich, Jerman 1972 itu menegaskan skuad kendalian Nafuzi Zain itu mempunyai pemain yang serba lengkap di setiap posisi lebih-lebih lagi reputasi pasukan itu antara pencabar utama dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd itu melahirkan kebimbangan jika saingan kedua paling berprestij di Asia itu dibatalkan selepas situasi terkini wabak pandemik Covid-19 yang tidak menentu.

Situasi itu ditambah selepas sehingga kini Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status kejohanan itu apabila tiada negara yang sudi menjadi tuan rumah selepas tuan rumah sebelum ini, Singapura menarik diri.

"Pada pandangan saya skuad TFC mampu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala AFC berdasarkan kualiti yang ada pada pemain selain prestasi terkini pasukan.

"Ini ditambah pihak pengurusan bertungkus-lumus menyediakan pasukan yang mantap selain latihan yang sudah dimulakan sejak akhir musim lalu lagi." katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas ketika dihubungi berkata, sehingga ke hari ini pihak AFC belum memaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenai status kejohanan itu.

"Kita menanti dengan penuh sabar status kejohanan itu, kami diberitahu minggu depan, namun kami harapkan ada berita gembira buat kami.

TFC perlu bersaing dengan dua lagi pasukan dalam Kumpulan I iaitu Geylang International FC (Singapura) dan pemenang 'playoff' antara wakil Kemboja, Visakha FC dan wakil Timor Leste Lalenok United FC selepas wakil Filipina, Kaya FC beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL)," katanya.

Sepatutnya aksi kumpulan berkenaan bermula 30 Jun lalu, namun disebabkan Singapura mengumumkan penarikan diri daripada menjadi tuan rumah berikutan kebimbangan pada Covid-19 menyebabkan status kejohanan itu kini tergantung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 10:46 PM